AM

Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara Mengenai Myanmar Ada Kemajuan - Anwar

26/10/2025 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata terdapat kemajuan secara beransur-ansur dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) mengenai Myanmar.

Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, berkata blok serantau itu akan terus melibatkan diri dalam parameter yang dipersetujui secara kolektif oleh semua negara anggota di bawah 5PC.

"Ya, terdapat cabaran tetapi yang pasti ia jauh lebih kecil berbanding apa yang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kita mempunyai 200,000 pelarian dari Myanmar atau di ASEAN, tetapi sepanjang tahun lepas, kita tidak berdepan masalah seperti itu," katanya pada Majlis Makan Malam Pembukaan Sidang Kemuncak Perniagaan Bloomberg, yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini malam ini.

Anwar berkata antara syarat yang ditetapkan di bawah konsensus itu ialah Myanmar mesti membenarkan akses lengkap dan menyeluruh untuk bantuan kemanusiaan, tanpa mengira perbezaan politik atau kumpulan.

"Mereka memang bersetuju. Hospital tentera kami tidak menghadapi masalah dalam mendapatkan pesakit daripada semua kumpulan. Pada fikiran saya, itu satu perubahan yang besar. 

“Ia belum memuaskan lagi, pastinya, apabila kita bercakap mengenai hak asasi manusia, tetapi pada saya, ia adalah kemajuan beransur-ansur yang kita dapat lihat. Saya agak yakin bahawa jika kita teruskan penglibatan, ia akan membantu selesaikan (konflik di Myanmar),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483656