JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Remaja Ditahan Bantu Siasatan Kes Tendang Motosikal Anggota URB

26/10/2025 11:58 PM

KUANTAN, 26 Okt (Bernama) -- Dua remaja lelaki masing-masing berusia 13 tahun ditahan selepas dipercayai menendang motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera dalam kejadian di Jalan Tengku Ismail, Temerloh awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Nasyim Bahron berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun bersama rakan setugas sedang melakukan rondaan sebelum terserempak dengan sebuah motosikal berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata suspek cuba melarikan diri dengan memecut motosikal berkenaan sebelum dikejar dan ketika itu, remaja tersebut bertindak menendang motosikal polis sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.

“Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri manakala mangsa dibawa ke Hospital Temerloh untuk rawatan akibat luka di tangan dan kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah menahan dua remaja berkenaan pada 2.30 petang tadi selain turut merampas sebuah motosikal berwarna hitam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan individu tanpa lesen sah menunggang motosikal, manakala ibu bapa atau penjaga boleh disiasat mengikut Seksyen 39 akta sama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483666