KUALA NERUS, 26 Okt (Bernama) -- Kemiskinan dan kesusahan hidup menjadi pembakar semangat Mohamad Izuwansah Ishak untuk cemerlang dalam pelajaran sehingga menjadi penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Ke-23 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.
Mohamad Izuwansah, 23, anak kepada buruh binaan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan) dengan Kepujian mendedikasikan anugerah itu kepada ibu bapanya Ishak Jalil, 60, dan Inn Mindun Damin, 58, yang bersusah payah memastikan dirinya mendapat pelajaran secukupnya.
Anak keempat daripada enam adik beradik itu berkata bekerja sambilan sebagai pembuat kopi di sebuah kafe di Kuala Terengganu untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga terutama perbelanjaan harian dan yuran pengajian dirinya.
“Saya bekerja dari Ahad hingga Khamis selama tiga tahun untuk mendapatkan wang saku. Selain itu, saya juga bekerja sebagai penyelaras program khazanah di UMT pada hujung minggu.
“Pada mulanya agak sukar untuk membahagikan masa antara kerja dan pelajaran. Tetapi saya berpegang dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan selain percaya usaha tangga kejayaan.
“Wang diperoleh digunakan untuk membeli barang keperluan dan dikirim sedikit ke kampung kerana dua adik saya masih bersekolah,” katanya semasa ditemui pada majlis konvokesyen itu.
Sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja, anak kelahiran Sungai Tiram, Johor itu menerima plak, wang tunai RM7,500 dan sijil yang disempurnakan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT.
Mohamad Izuwansah berkata ketika ini, beliau bekerja sebagai pembantu penyelidik projek di Jabatan Perikanan Malaysia Johor dan berhasrat menyambung pelajaran sehingga peringkat Doktor Falsafah (PhD) untuk mencapai cita-cita menjadi pensyarah.
-- BERNAMA