AM

MAHB Sumbang Peralatan Tindakan Kecemasan Bernilai RM96 Ribu, Perkukuh Kesiapsiagaan Bencana

29/10/2025 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyumbangkan 20 unit gergaji rantai lengkap dengan aksesori bernilai lebih RM96,000 kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) melalui Malaysian Relief Agency (MRA), bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana di lapangan.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Mohd Izani Ghani dalam kenyataan hari ini berkata sumbangan itu, bertujuan meningkatkan keupayaan operasi menyelamat dan mempercepatkan tindakan kecemasan pasca bencana oleh agensi terlibat.

“Kami melaksanakan pelbagai program di bawah platform tanggungjawab sosial korporat MYAirportCARES, yang bertujuan untuk memberi manfaat lestari kepada komuniti sekitar kawasan operasi kami.

“Kami juga mengambil pendekatan untuk melakukan kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan demi memastikan setiap bantuan yang disampaikan bersifat menyeluruh, pantas dan berimpak tinggi.

“Usaha ini mencerminkan tekad kami untuk membantu memperkukuh kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

 

Mohd Izani berkata inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada tonggak Pemerkasaan Komuniti di bawah MAHB yang memberi tumpuan kepada bantuan kemanusiaan, kesiapsiagaan bencana serta pemulihan pascabencana, selaras dengan peranan syarikat sebagai rakan strategik dalam rangka kerja GLC/GLIC Demi Rakyat dan Negara (GDRN).

Majlis penyerahan sumbangan berkenaan merupakan hasil kerjasama antara MAHB, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PBS dan MRA yang memainkan peranan penting dalam menangani bencana di lapangan.

Sebelum ini, Malaysia Airports telah menyumbang 500 unit khemah modular dan 12,000 folder keselamatan kalis api dan air kepada Depot Tindak Balas Kemanusiaan Negara (DTBKN), selain menyalurkan bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir di Sarawak, Kelantan, Kedah serta Johor.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484931