AM

PM Anwar Seru Kerjasama ASEAN-Jepun Lebih Erat Berteraskan Kepercayaan, Nilai Bersama

26/10/2025 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru agar kerjasama ASEAN-Jepun diperkukuh dan diperdalam, menekankan bahawa potensi besar perkongsian itu berteraskan kepercayaan, nilai bersama serta persahabatan yang telah terjalin sejak sekian lama.

Dalam ucapan pembukaannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28, Anwar berkata ASEAN berhasrat untuk terus bekerjasama rapat dengan Jepun bagi memperkukuh visi bersama dalam bidang inovasi, tenaga bersih dan pertumbuhan berdaya tahan.

“Saya berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, ke Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun beliau yang pertama. Kami mengucapkan tahniah atas pelantikan anda dan berharap kepimpinan anda akan membawa semangat baharu kepada persahabatan jangka panjang antara kita.

“Dengan semangat ini, saya menantikan pandangan rakan-rakan sejawat yang dihormati ketika kita merangka arah baharu yang lebih segar dan berpandangan ke hadapan bagi memperkukuh kerjasama ASEAN-Jepun,” katanya.

Takaichi, yang juga Presiden Parti Demokratik Liberal yang memerintah Jepun, dipilih sebagai Perdana Menteri negara itu pada Selasa lepas (21 Okt), sekali gus menjadi pemimpin wanita pertama Jepun.

Sementara itu, dalam ucapan pembukaannya, Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi berkata Jepun berhasrat untuk memanfaatkan dasar Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka (FOIP) bagi memperkukuh lagi hubungan dengan ASEAN.

Beliau berkata Jepun dan ASEAN telah membina perkongsian berasaskan kepercayaan yang berpaksikan “ikatan hati ke hati” melalui kerjasama jangka panjang merentasi pelbagai sektor.

Perdana Menteri baharu itu turut menegaskan bahawa Jepun mendukung FOIP dan sentiasa menyokong Pandangan ASEAN mengenai  Indo-Pasifik (AOIP), yang berkongsi prinsip dan nilai asas yang sama.

“Adalah amat menggembirakan kerana kita dapat menerima pakai kenyataan bersama dengan para pemimpin ASEAN di sini hari ini, yang membentuk sinergi antara FOIP dan AOIP serta mengesahkan hasrat kita untuk menggalakkan kerjasama lebih erat antara Jepun dan ASEAN.

“Tahun hadapan menandakan ulang tahun ke-10 sejak mendiang Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe melancarkan FOIP pada 2016. Kami akan menggunakan peluang ini untuk menempatkan semula FOIP sebagai tonggak utama diplomasi Jepun dan mengembangkannya selaras dengan perubahan semasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483499