EKONOMI

Kunjungan Trump Bukti Kepentingan Hubungan AS-ASEAN — McFeeters

26/10/2025 06:40 PM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ketika ini, dilihat sebagai isyarat kukuh penglibatan semula negara maju itu dengan blok serantau berkenaan.

Pada masa sama, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC), Duta (Bersara) Brian McFeeters berkata ini sekali gus menegaskan lagi komitmen Washington dalam mengukuhkan hubungan dua hala dan pelbagai hala di Asia Tenggara.

Beliau juga menyifatkan ketibaan pesawat Air Force One yang membawa pemimpin AS itu di Kuala Lumpur sebagai satu detik penting bagi rantau ini selain memberi impak besar terhadap perbincangan ekonomi dan geopolitik yang sedang dijalankan.

Walaupun pada awalnya wujud ketidakpastian mengenai penyertaan Trump, beliau berkata kehadiran presiden itu pada akhirnya hanya memaparkan kepentingan diletakkan Washington terhadap hubungan dengan Malaysia serta ASEAN secara menyeluruh.

“Rakyat misalnya mahukan AS dan Malaysia menjalin hubungan kukuh dan begitulah juga keadaannya bagi AS dan ASEAN.

“Oleh itu, kehadiran Presiden Trump di sini menyerlahkan isyarat itu. Kita perlu menunggu (untuk melihat impaknya)...ini hanya permulaan dan perlu menunggu hasil daripada perbincangan beliau,” katanya pada program khas Bernama TV sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bertajuk ‘Trump at ASEAN 2025: Deal or Disruption for Regional Unity?’ hari ini.

Trump tiba di Malaysia hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan merupakan lawatan pertama oleh presiden AS ke negara ini dalam tempoh sedekad selain menjadi lawatan pertama beliau ke negara ini.

Mengulas sidang kemuncak kali ini, McFeeters berkata antara isu perbincangan utama adalah bagaimana ASEAN dapat menjadi lebih kukuh secara dalaman, khususnya menerusi usaha meningkatkan perdagangan intra-ASEAN yang ketika ini menyumbang kira-kira 23 peratus daripada jumlah perdagangan perkumpulan itu.

Beliau berkata banyak pihak percaya angka itu sewajarnya lebih tinggi, namun kemajuan itu dikekang oleh langkah bukan tarif yang menyukarkan lagi urusan menjalankan perniagaan rentas sempadan.

McFeeters turut menekankan peranan penting ASEAN dalam rantaian bekalan global iaitu hampir 45 peratus cip semikonduktor diimport oleh AS berasal dari negara-negara ASEAN.

“Sehubungan itu, ASEAN dan terutamanya Malaysia, telah menjadi bahagian penting dalam rantaian bekalan global. Sewaktu krisis COVID-19, beberapa kilang kereta di Detroit, AS, terpaksa ditutup disebabkan ketiadaan penghantaran komponen semikonduktor tertentu dari Malaysia,” katanya.

Contoh itu, katanya, hanya membuktikan lagi aspek saling kerbergantungan rantau berkenaan.

Dalam pada itu, McFeeters yang pernah menggalas tugas sebagai Duta Besar AS ke Malaysia, memuji kepimpinan Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyerlahkan kemahiran diplomasi, kredibiliti antarabangsa serta rangkaian global luas yang membantu mengangkat peranan Malaysia dalam ASEAN serta di persada global.

Beliau berkata kemampuan Anwar menghimpunkan pemimpin serantau sepertimana kejayaan pemeteraian perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja, jelas membuktikan pengaruh Malaysia yang kian ketara sebagai perantara dan penggerak dipercayai di Asia Tenggara.

“Anwar mempunyai jaringan antarabangsa yang tiada tandingan...saya tidak fikir ada banyak pemimpin yang dapat menandingi kemampuan sedemikian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483510