AM

Kanada Tumpu ASEAN Sebagai Langkah Gandakan Eksport Bukan Ke AS Sebanyak 50 Peratus

26/10/2025 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Kanada menjangka sebahagian besar daripada peningkatan 50 peratus yang dirancang dalam eksport bukan ke Amerika Syarikat (AS) untuk dekad akan datang adalah daripada hubungan ekonomi yang lebih erat dengan ASEAN, kata Perdana Menterinya, Mark Carney.

Pada 22 Oktober lepas, Carney berkata Kanada berhasrat untuk menggandakan eksport bukan ke AS menjelang 2035, yang akan menjana tambahan perdagangan bernilai CAD300 bilion (US$214.4 bilion). Oleh itu, Kanada bakal memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas Komprehensif (ACAFTA) dengan ASEAN tahun depan.

“Saya telah bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan pengerusi ASEAN 2025 dan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr yang akan menjadi pengerusi tahun depan. Kami akan meneruskan beberapa siri perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala dan mempercepatkannya.

“Strategi kami ialah memperluas dan meningkatkan hubungan dengan rakan kongsi yang mempercayai perdagangan berasaskan peraturan, yang saling melengkapi dan berkongsi nilai yang sama,” katanya pada sesi panel Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) di sini hari ini.

Kanada dan ASEAN telah menyelesaikan enam pusingan rundingan, dengan matlamat untuk memuktamadkan perjanjian pada 2025.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Carney berkata Kanada berhasrat bekerjasama erat dengan ASEAN terutamanya dalam sektor tenaga, reaktor modular nuklear, pertahanan dan pelaburan.

“Kami merupakan kuasa besar tenaga dengan rizab minyak ketiga terbesar dan rizab gas asli cecair (LNG) keempat terbesar dan kami menyasarkan untuk menggandakan pengeluaran LNG menjelang 2040.

“Kami juga mempunyai satu daripada rizab mineral penting terbesar dan merupakan antara pusat pembiayaan perlombongan utama di dunia. Oleh itu, dengan sumber, pembiayaan perlombongan dan piawaian pembangunan mampan yang kukuh, ia merupakan kerjasama semula jadi dengan kebanyakan negara ASEAN, yang mempunyai rizab dan potensi mereka sendiri,” katanya.

Carney menegaskan bahawa kerjasama ini tepat pada masanya berdasarkan Kanada dan ASEAN menggesa kepada keperluan untuk kepelbagaian.

Beliau kini dalam rangka lawatan kerja ke Malaysia dari 25 hingga 28 Oktober, merupakan lawatan pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Mac 2025.

Anwar dan Carney dijangka mengadakan mesyuarat dua hala esok dan perbincangan dijangka tertumpu pada mengukuhkan hubungan Malaysia-Kanada, merangka hala tuju baharu untuk kerjasama masa depan dan meneroka peluang dalam perdagangan dan pelaburan, kerjasama halal, tenaga, keselamatan siber dan hubungan antara rakyat.

Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Kanada bernilai RM11.32 bilion, meningkat 33.6 peratus daripada tahun sebelumnya.

Momentum positif ini berterusan sehingga suku pertama 2025, dengan jumlah perdagangan mencecah RM3.26 bilion, meningkat 38.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483582