Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Pengurangan halangan bukan tarif dijangka dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN sebanyak 4.3 peratus dalam jangka masa panjang, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), menurut Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva.
Beliau berkata peningkatan ini bersamaan dengan menambah lebih sepertiga KDNK semasa Malaysia kepada blok itu dan mewujudkan kira-kira empat juta pekerjaan baharu sekiranya digabungkan dengan dasar pasaran buruh yang lebih efektif.
“Perdagangan serantau dalam ASEAN kini menyumbang sedikit melebihi 20 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan, kebanyakannya melibatkan barangan pertengahan, berbanding 60 peratus dalam Kesatuan Eropah (EU) yang lebih banyak melibatkan barangan akhir.
“Sehubungan itu, penghapusan halangan perdagangan akan membantu ekonomi anda berkembang dengan lebih pantas,” katanya pada sesi plenari di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini.
Beliau turut menyokong Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dipertingkatkan serta langkah serupa bagi melonggarkan sekatan perdagangan dalam perkhidmatan, di samping integrasi kewangan yang lebih kukuh dan pelaburan bersama yang transformatif.
“Begitu juga dengan usaha memperluas perkongsian teknologi, termasuk dalam bidang infrastruktur digital dan kecerdasan buatan (AI), dengan Singapura menyerlah sebagai peneraju global, manakala Malaysia, Thailand dan Indonesia sedang mencapai kemajuan yang signifikan,” kata beliau.
IMF mengunjurkan pertumbuhan global pada 3.2 peratus tahun ini dan 3.1 peratus pada 2026, manakala ASEAN dijangka berkembang 4.3 peratus bagi kedua-dua tahun berkenaan.
“Memang benar, ia masih di bawah trend sejarah sebelum ini, tetapi keadaan ini lebih baik daripada yang kita jangkakan pada April,” katanya.
Georgieva berkata dasar asas ekonomi yang kukuh, kebolehsesuaian sektor swasta serta pengukuhan kerjasama di peringkat serantau menjadi sumber ketahanan ini.
Sepanjang beberapa dekad yang lepas, negara ASEAN telah melabur untuk membina asas dasar yang kukuh, termasuk bank pusat yang bebas, inflasi bersasar, peraturan fiskal dan kini pendekatan itu telah memberikan impak positif.
“Usaha ini perlu diteruskann dan IMF menyediakan analisis merentas negara serta saluran penilaian ekonomi kami pada peringkat dua hala, serantau dan global,” katanya.
Georgieva berkata sektor swasta memainkan peranan utama dalam menjana pertumbuhan dan pekerjaan di negara anggota ASEAN.
“Blok ini juga mempunyai potensi besar untuk mempunyai dasar generasi baharu yang dapat memperkukuh integrasi perdagangan, kewangan dan teknologi,” katanya.
-- BERNAMA