KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri India Narendra Modi mengisytiharkan 2026 sebagai Tahun Kerjasama Maritim ASEAN-India bagi memperkukuh hubungan serantau serta menggalakkan keamanan dan keselamatan.
Berucap secara dalam talian pada Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-22 hari ini, beliau berkata India dan ASEAN sedang bekerjasama rapat dalam bidang seperti keselamatan maritim, bantuan bencana dan ekonomi biru.
“Sama ada melibatkan pendigitalan inklusif atau keterjaminan makanan serta rantaian bekalan berdaya tahan dalam landskap global yang semakin rumit, India menzahirkan sokongan penuh terhadap keutamaan ini dan bertekad untuk terus maju bersama ke arah itu.
“India sentiasa berdiri teguh bersama rakan-rakan ASEAN pada setiap kali bencana berlaku. Kerjasama kita semakin berkembang meliputi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), keselamatan maritim serta ekonomi biru. Sehubungan itu, kami (India) mengisytiharkan 2026 sebagai Tahun Kerjasama Maritim ASEAN-India,” katanya.
Beliau berkata India dan ASEAN juga sedang giat memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti pendidikan, pelancongan, sains dan teknologi, kesihatan, tenaga hijau serta keselamatan siber.
Khamis lepas, Modi mengulangi komitmen beliau memperkukuh hubungan ASEAN-India, di samping menyatakan beliau menantikan penyertaannya dalam Sidang Kemuncak ASEAN-India secara maya serta memperdalam Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).
Modi juga menegaskan semula sokongan India yang tidak berbelah bahagi kepada Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik, dengan menekankan bahawa ASEAN kekal sebagai tonggak utama Dasar Akta Timur India.
“India sentiasa menyokong kepusatan ASEAN dan Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik. Walaupun dalam tempoh ketidaktentuan ini, terdapat kemajuan yang kukuh dalam Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-India," katanya.
Dasar Akta Timur India bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi, strategik dan budaya dengan negara Asia Tenggara dan rantau Indo-Pasifik yang lebih luas, meningkatkan kerjasama dan kestabilan serantau.
Mengetengahkan nilai bersama dan hubungan bersejarah antara India dan ASEAN, Modi berkata negara itu dan blok berkenaan mewakili satu perempat daripada populasi dunia dan menyifatkan kedua-dua pihak sebagai 'rakan pengembara dari Global Selatan'.
“Kita bukan hanya berkongsi geografi, kita juga diikat bersama oleh ikatan bersejarah yang mendalam dan nilai bersama.
“Kerjasama kita merangkumi bukan sahaja perdagangan tetapi juga budaya. Kita akan terus bekerjasama untuk memupuk warisan budaya bersama dan untuk mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat," katanya.
Pemimpin India itu turut mengucapkan tahniah kepada Anwar atas kejayaannya sebagai Pengerusi ASEAN dan berterima kasih kepada Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. atas peranannya sebagai penyelaras negara untuk India.
Beliau kemudian mengalu-alukan Timor-Leste sebagai anggota terbaharu keluarga ASEAN serta mengucapkan takziah bagi pihak rakyat India kepada keluarga diraja dan rakyat Thailand atas kemangkatan Bonda Ratu Thailand, Ratu Sirikit.
India menjadi rakan dialog ASEAN pada 1996, dengan perdagangan dua hala meningkat kepada USD106.83 bilion (USD1 = RM4.22) pada 2024 iaitu peningkatan daripada USD100.72 bilion pada 2023.
Bagaimanapun, pelaburan langsung asing (FDI) dari India ke ASEAN merosot 34.97 peratus kepada USD3.31 bilion pada 2024, daripada USD5.09 bilion pada 2023.
-- BERNAMA