JENAYAH & MAHKAMAH

Pengawal Keselamatan Dipenjara Lima Tahun, Sebatan Miliki Parang Tanpa Kebenaran

27/10/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki sebilah parang tanpa kebenaran di hadapan pintu masuk utama sebuah kondominium, semalam.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Jazlan Muhammad Ariff, 32, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari  tarikh dia ditangkap.

Ahmad Jazlan didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan pintu masuk utama sebuah kondominium, Jalan Tun Sambanthan di sini pada 5.30 pagi, semalam

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan.

Mengikut fakta kes, pihak polis telah menerima panggilan daripada kaunter aduan berhubung suspek yang membawa parang ke kawasan tempat kejadian. 

Hasil siasatan polis mendapati lelaki berkenaan telah menyembunyikan parang itu di bawah meja di hadapan pintu masuk kondominium berkenaan. Parang tersebut kemudiannya dirampas polis.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun Ahmad Jazlan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarga.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483862