KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa hari ini menggesa masyarakat antarabangsa memperhebat usaha ke arah mencapai keamanan berkekalan di Gaza dan memastikan agar penyelesaian dua negara dapat direalisasi.
Ketika menyampaikan syarahan umum selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Hubungan Antarabangsa daripada Universiti Malaya (UM) hari ini, beliau berkata rakyat Gaza kini diancam “pembunuhan beramai-ramai” selepas berdekad-dekad berdepan pengusiran, penindasan dan kezaliman.
“Kita tidak boleh berdiam diri menyaksikan pembunuhan puluhan ribu orang awam, pemindahan secara paksa, kebuluran yang disengajakan serta kemusnahan rumah, sekolah, hospital dan infrastruktur penting lain,” katanya pada Majlis Konvokesyen Khas UM di sini.
Ramaphosa turut menyambut baik perjanjian gencatan senjata yang dipelopori oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan disokong oleh beberapa negara Timur Tengah namun menyuarakan kebimbangan terhadap serangan berterusan di Gaza dan Tebing Barat, yang berpotensi menjejaskan pelaksanaan gencatan senjata itu.
“Sebagai masyarakat antarabangsa, kita mesti berusaha sedaya upaya bagi memastikan perjanjian damai ini menjadi landasan ke arah penubuhan negara Palestin dan menjamin hak mereka untuk menentukan nasib sendiri,” katanya dalam syarahan umum bertajuk South-South Diplomacy in the 21st Century: Malaysia and South Africa.
Beliau juga berkata usaha perdamaian haruslah membawa kepada penubuhan sebuah negara Palestin berdasarkan sempadan tahun 1967.
“Kami menghargai kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara terbuka menyokong kes Afrika Selatan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), serta peranan aktif Malaysia dalam Kumpulan The Hague,” katanya.
Menyentuh mengenai hubungan Malaysia-Afrika Selatan, Ramaphosa berkata ikatan sejarah antara kedua-dua negara telah berkembang menjadi “solidariti berprinsip” yang terus menjadi asas kerjasama mereka pada era moden ini.
“Apabila kami dibebaskan daripada belenggu aparteid, Malaysia berdiri bersama kami. Daripada perjuangan menentang aparteid sehingga ke era demokrasi, perjalanan kedua-dua negara saling berkait rapat,” katanya sambil menambah bahawa kedua-dua negara terus menjalinkan kerjasama erat dalam pelbagai platform multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Komanwel dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.
Ramaphosa turut merakamkan penghargaan kepada para pemerintah dan rakyat dari Gugusan Kepulauan Melayu dan Indonesia termasuk golongan orang buangan, pekerja dan cendekiawan atas sumbangan mereka dalam pembangunan negara Afrika Selatan sejak berabad-abad.
Beliau berkata kedatangan mereka, meskipun sebagai hamba dan orang buangan, telah membawa agama Islam ke Afrika Selatan serta memperkenal nilai-nilai murni seperti kesaksamaan, keadilan dan maruah yang membentuk struktur sosial masyarakat Afrika Selatan hari ini.
“Masyarakat awal ini membawa bersama warisan kerohanian yang kemudian berkembang menjadi gerakan penentangan teratur terhadap penjajahan dan aparteid. Legasi mereka kekal sebagai sebahagian daripada asas demokrasi kami,” katanya.
Ramaphosa juga berkata terdapat peluang ekonomi yang signifikan antara kedua-dua negara khsuusnya dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri, dengan Malaysia menjadi rakan dagang terbesar Afrika Selatan di Asia.
Sebagai Presiden Kumpulan 20 (G20), Ramaphosa berkata keutamaan Afrika Selatan tertumpu kepada solidariti, kesaksamaan serta kemampanan, dan beliau turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan berterusan terhadap usaha ini.
“Keutamaan kepengerusian kami memfokuskan empat keutamaan iaitu memperkukuh daya tahan terhadap bencana, memastikan kelestarian hutang bagi ekonomi membangun, menggerakkan pembiayaan untuk peralihan tenaga yang adil serta memanfaatkan sumber mineral penting bagi pertumbuhan inklusif,” katanya.
Canselor UM, yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah menganugerahkan ijazah kehormat itu kepada Ramaphosa sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam Diplomasi Global, Rundingan Antarabangsa dan kepakaran strategik.
Ramaphosa kini dalam rangka lawatan rasmi ke empat hari ke Malaysia bermula Jumaat lepas atas undangan Anwar bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi.
Menurut Kementerian Luar, ini merupakan lawatan rasmi pertama Ramaphosa ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan Presiden pada Februari 2018.
-- BERNAMA