AM

ASEAN Cadang Tubuh Rizab Bekalan Perubatan Tingkat Kesiapsiagaan Kesihatan Serantau

27/10/2025 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- ASEAN telah mencadangkan penubuhan Rizab Bekalan Perubatan ASEAN Campur Tiga bagi Kecemasan Kesihatan Awam (APTRMS) untuk meningkatkan kesiapsiagaan rantau ini menghadapi sebarang krisis kesihatan pada masa hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu penting bagi memastikan rantau ini bersedia secara bersama dalam menghadapi sebarang kemungkinan ancaman kesihatan.

Beliau berkata pandemik COVID-19 telah menekankan kepentingan daya tahan bersama, kerjasama serta kesiapsiagaan dalam kalangan negara serantau.

“Kita perlu meningkatkan penglibatan dan kerjasama kerana ia kekal sebagai kunci kepada kestabilan. Kita juga perlu meneruskan usaha menubuhkan APTRMS seperti yang dicadangkan bagi memperkukuh persediaan menghadapi kecemasan pada masa hadapan,” kata beliau berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3) ke-28 yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sidang Kemuncak ASEAN+3 dipengerusikan secara bersama Anwar, Perdana Menteri China Li Qiang, Menteri Luar Jepun Motegi Toshimitsu serta Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung.

Anwar berkata pertumbuhan serantau perlu bersifat adil dan inklusif, memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara meluas serta kemajuan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan yang berkekalan.

“Kita perlu mempersiapkan golongan belia dan wanita untuk masa depan rantau Asia Timur lebih mampan, terangkum serta saling berhubung,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata beliau turut mengharapkan penglibatan yang membina mengenai masa depan kerjasama berkenaan supaya Asia Timur kekal berperanan sebagai tonggak kestabilan, menyediakan peluang dan harapan.

Sidang Kemuncak ASEAN+3 Summit diadakan bagi membincangkan langkah untuk memperkukuh kerjasama serantau secara lebih luas.

 Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula semalam hingga esok  menghimpunkan lebih 3,000 delegasi termasuk pemimpin serantau dan antarabangsa dari lebih 30 negara organisasi bagi memperkukuh penglibatan serta kerjasama.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483772