KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- China dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan perbincangan mengenai potensi pertemuan antara kedua-dua pemimpin negara itu, kata jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun.
Menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan pertemuan itu dan agenda yang bakal dibincangkan, Guo dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua negara masih dalam perbincangan dan sebarang perkembangan mengenai perkara itu akan diumumkan pada masa yang sesuai.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan ucapan Presiden AS Donald Trump, semalam yang menyatakan keyakinan terhadap pemuktamadan perjanjian perdagangan dan pemimpin China dijangka melawat Washington tahun hadapan.
“Diplomasi pemimpin memainkan peranan penting yang tidak ternilai dalam memberikan panduan strategik bagi hubungan China-AS,” katanya dalam kenyataan menerusi laman web Kementerian Luar China hari ini.
Semalam, Trump ketika berada di Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN menyatakan keyakinan terhadap potensi perjanjian perdagangan dengan Presiden China Xi Jinping, semasa pertemuan mereka di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan minggu ini.
Pertemuan yang mungkin berlaku antara Beijing dan Washington itu dianggap sebagai peluang penting untuk menstabilkan hubungan dua hala, yang sebelum ini mengalami tekanan akibat isu perdagangan, teknologi dan keselamatan serantau.
Berdasarkan laporan media, rundingan perdagangan antara perunding perdagangan China, Li Chenggang dan Timbalan Perdana Menteri He Lifeng dengan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent serta Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer di luar Sidang Kemuncak ASEAN telah membuahkan hasil positif.
-- BERNAMA