AM

ASEAN Perlu Kekal Bersatu, Ubah Laut China Selatan Jadi 'Laut Keamanan' - Ramos-horta

27/10/2025 03:45 PM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- ASEAN perlu kekal bersatu dan bertindak sebagai penghubung antara kuasa besar dunia untuk menangani ketegangan di Laut China Selatan dan menyelesaikan krisis di Myanmar, kata Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta. 

Dalam temu bual ekslusif bersama Bernama, pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu berkata pengalaman blok serantau itu dalam hubungan diplomasi dan penyelesaian konflik meletakkannya pada kedudukan unik untuk memupuk persefahaman di tengah-tengah persaingan kuasa besar yang semakin sengit.

“ASEAN memiliki prestij, kredibiliti serta berkemampuan untuk lebih giat dalam mencari penyelesaian bagi krisis di Myanmar,” katanya.

Mengenai Laut China Selatan, beliau berkata rantau itu perlu menghindari konfrontasi dengan mengekalkan kebebasan pelayaran dan mengurangkan kehadiran ketenteraan.

“Tiada negara yang menuntut akan mengalah. Penyelesaiannya adalah dengan membekukan tuntutan dan menjadikan Laut China Selatan sebagai laut keamanan dan kerjasama,” katanya.

“Hanya benarkan penangkapan ikan secara tradisional dan hentikan penangkapan yang berlebihan kerana perkara itu juga akan mengelak pertembungan antara armada,” katanya.

Beliau berkata ia bukan sahaja mampu mengurangkan ketegangan serantau, tetapi juga menggalakkan pengurusan sumber yang mampan dan kerjasama maritim, menjadikan kawasan yang dipertikaikan sebagai zon kemakmuran bersama.

Ramos-Horta menyatakan keyakinan bahawa China dan Amerika Syarikat mampu menyokong inisiatif keamanan dipimpin ASEAN sekiranya diplomasi dan dialog terus diutamakan.

Selain isu geopolitik, beliau turut berkongsikan visinya mengenai pembangunan ekonomi yang inklusif.

Dengan menekankan penciptaan pekerjaan berbanding pengutipan cukai sebagai asas pertumbuhan negara, beliau berkata kemakmuran mesti bermula dengan peluang pekerjaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Apa yang lebih penting bagi sebuah negara membangun, mengutip cukai atau mencipta peluang pekerjaan? Jika kita mengutamakan pekerjaan, kemakmuran akan dicapai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483827