PUTRAJAYA, 27 Okt (Bernama) -- Hubungan kerjasama antara agensi berita Malaysia dan Timor-Leste bakal menjadi jambatan penting dalam mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kerjasama yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pada Sabtu lepas, akan membolehkan masyarakat di Malaysia dan Timor-Leste untuk saling memahami serta mengikuti perkembangan semasa di kedua-dua negara.
“Kita juga lihat hubungan antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan agensi berita Timor-Leste seperti Radio-Televisão Timor Leste (RTTL) dan TATOLI Agência Noticiosa de Timor‑Leste akan menjadi jambatan untuk kita mendengar cerita rakyat Timor-Leste dan mereka di Timor-Leste boleh mengetahui apa berlaku di Malaysia.
“Jadi kita percaya ini akan menjadi antara permulaan kepada hubungan diplomatik lebih baik antara kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Julina Johan dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman
Sabtu lepas, Malaysia dan Timor-Leste menandatangani dua MoU bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang telekomunikasi dan media.
MoU pertama ditandatangani antara Fahmi dan Menteri Pengangkutan serta Komunikasi Timor-Leste Miguel Marques Gonçalves Manetelu untuk kerjasama dalam bidang telekomunikasi, diikuti MoU kedua mengenai pembangunan maklumat dan media antara Fahmi dan Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste Expedito Loro Dias Ximenes.
Timor-Leste secara rasmi diterima anggota penuh ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung semalam.
Negara itu mula memohon menyertai ASEAN pada 2011 dan diterima secara prinsip sebagai anggota pada 2022 sebelum disahkan sebagai negara anggota penuh ASEAN ke-11.
-- BERNAMA