Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup rendah hari ini disebabkan oleh kebimbangan terhadap permintaan yang lebih lembap untuk komoditi itu, kata CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd.
Katanya, permintaan dari India, pengimport minyak yang boleh dimakan terbesar di dunia, mungkin menyusut memandangkan musim perayaan di negara itu akan berakhir pada minggu ini.
“Penggunaan komoditi tropika itu, terutamanya di bahagian utara negara ini, juga cenderung jatuh pada bulan-bulan musim dingin iaitu dari November hingga Februari. Minyak kelapa sawit umumnya menebal semasa suhu sejuk, mendorong pengguna untuk mencari alternatif seperti minyak soya,” katanya melalui satu laporan.
Pada penutup, November 2025 hilang RM47 kepada RM4,335 satu tan, manakala kontrak Disember 2025 serta Januari 2026, masing-masing turun sebanyak RM49 kepada RM4,354 dan RM4,373 satu tan.
Februari 2026 merosot sebanyak RM47 kepada RM4,388 satu tan, dan Mac 2026 ,melemah RM46 kepada RM4,386 manakala April 2026 menurun RM3 kepada RM4,377.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 69,120 berbanding 73,808 lot yang dicatatkan pada Jumaat sebelum ini, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 268,476 kontrak daripada 265,714 kontrak.
Di pasaran fizikal, November Selatan kehilangan RM70 kepada RM4,370 satu tan.
-- BERNAMA