EKONOMI

CelcomDigi, Terengganu Inc Memeterai MoU Pacu Pendigitalan

27/10/2025 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- CelcomDigi Bhd telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Terengganu Incorporated Sdn Bhd untuk memacu pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) merentasi kumpulan anak syarikat negeri itu. 

Pengendali rangkaian mudah alih tersebut melalui satu kenyataan berkata inisiatif itu dibuat susulan satu siri bengkel yang dijalankan di antara kedua-dua organisasi untuk mengenal pasti peluang serta keutamaan dalam memajukan transformasi digital Terengganu.

“Di bawah kerjasama ini, Terengganu Inc akan memanfaatkan kepakaran digital dan AI CelcomDigi bagi mempercepatkan perjalanan transformasinya. 

“Berdasarkan penilaian kemampuan yang dibuat terhadap 13 anak syarikat organisasi itu, CelcomDigi akan bersama-sama membangunkan satu Kerangka Kerja Strategik AI bertujuan mengatasi serta memperkuat aspek utama dalam kesalinghubungan, keselamatan siber, infrastruktur awan, Internet Pelbagai Perkara (IoT) dan kesiapsiagaan data,” katanya. 

Kerangka kerja itu bakal menjadi rangka tindakan strategik untuk memodenkan operasi, meningkat kecekapan termasuk memperkukuh keupayaan kumpulan sejajar dengan wawasan negeri Terengganu bagi mencapai tahap ekonomi berteraskan ekonomi yang dipacu teknologi dan berdaya mampan.

Kerjasama ini dibina atas usaha berterusan untuk mengenal pasti peluang yang dapat memperkukuh industri-industri utama dan pertumbuhan ekonomi negeri. 

“Dengan mendigitalkan sektor teras, kedua-dua organisasi berhasrat untuk membuka kunci kecekapan baharu, memperkasakan perusahaan tempatan selain meningkatkan perkhidmatan awam, memacu kemajuan teknologi yang mampan, yang akan menyokong ketahanan dan daya saing jangka panjang Terengganu selaras dengan matlamat digital Malaysia,” katanya lagi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483938