Oleh Mohd Adli Shahar dan Ahmad Erwan Othman
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- ASEAN dan Australia telah bersetuju dengan Kenyataan Pemimpin ASEAN-Australia mengenai Pencegahan Konflik dan Pengurusan Krisis, menandakan komitmen baharu untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini berkata kenyataan penting itu menunjukkan komitmen bersama untuk mendirikan Asia Tenggara yang aman dan stabil serta membimbing rantau ini daripada konflik dan ancaman terhadap peraturan serta norma yang membawa semua kepentingan bersama kita ke hadapan.
“Sebagai rakan ASEAN, mengekalkan dialog yang terbuka dan konstruktif sememangnya bernilai,” katanya.
Albanese berkata kenyataan itu menekankan peranan penting ASEAN dalam memperkukuh kepercayaan bersama antara negara anggota bagi mengurangkan risiko salah faham, mengurus perbezaan dan mencegah ketegangan daripada meningkat.
Beliau turut berkata kenyataan baharu itu berpaksikan visi bersama yang digariskan menerusi Kenyataan Visi yang dikeluarkan pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Melbourne tahun lepas.
Menegaskan tumpuan ekonomi Australia, Albanese berkata kerajaan beliau komited memperdalam penglibatan ekonomi dan merebut peluang pelaburan serta perdagangan yang dikenal pasti menerusi strategi serantau menjelang 2040.
“Pada ketika ketidaktentuan ekonomi global, Australia kekal komited terhadap pertumbuhan dan kemakmuran Asia Tenggara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tiga perempat daripada jumlah keseluruhan pembiayaan bantuan pembangunan luar Australia memberi manfaat kepada rantau ini, termasuk program pembangunan bernilai A$1.28 bilion di Asia Tenggara.
Beliau berkata program pembiayaan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi, menerima transformasi digital serta menyokong penggunaan tenaga lebih bersih dan murah bagi menjana ekonomi yang lebih kukuh serta alam sekitar yang lebih sihat, di samping pelaburan dalam perkhidmatan dan hasil kesihatan yang lebih baik.
Albanese turut menegaskan bahawa ASEAN merupakan tumpuan kepada kekuatan dan kejayaan rantau yang pelbagai serta dinamik, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Australia menjadi wadah penting untuk semua pihak bekerjasama membina serta mengekalkan rantau yang aman, stabil dan makmur untuk semua warganya.
Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-5 berperanan sebagai forum peringkat tinggi antara ketua-ketua negara ASEAN dan Perdana Menteri Australia di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).
Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia mula diwujudkan pada Sidang Kemuncak Tahunan ASEAN-Australia yang julung kali diadakan pada 27 Okt 2021, dengan kedua-dua pihak komited memperdalam kerjasama merentasi tiga tonggak - politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.
Pada Julai 2024, ASEAN telah meluluskan Pelan Tindakan bagi Melaksanakan CSP ASEAN-Australia (2025–2029) yang menggariskan hala tuju kerjasama untuk tempoh lima tahun akan datang.
Australia menjalin hubungan yang sememangnya lama dengan ASEAN sejak 1974 apabila menjadi Rakan Dialog pertama blok itu.
-- BERNAMA