KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Komunikasi sedang menggubal beberapa kerangka undang-undang dan dasar baharu, termasuk Akta Antiberita Tidak Benar, garis panduan etika bagi pempengaruh media sosial serta kerangka perundangan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor media.
Menterinya Datuk Fahmi Fadzil berkata cabaran terbesar masa kini ialah fenomena penyebaran maklumat dan berita palsu yang bukan sahaja mencemarkan landskap maklumat, malah turut mengancam keharmonian sosial serta keselamatan negara.
“Laporan Ipsos Digital 2025 menunjukkan rakyat Malaysia meluangkan purata lapan jam sehari dalam talian, menjadikan kita antara pengguna internet paling aktif di rantau ini. Namun, bersama kebebasan digital ini datang tanggungjawab yang besar.
“Kementerian Komunikasi menerima lebih 15,000 aduan berkaitan kandungan berbahaya, berita palsu dan jenayah siber tahun lalu sahaja.
“Ini membuktikan bahawa literasi media dan komunikasi beretika bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan asas bagi kelangsungan masyarakat digital kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi Dua Tahunan ke-19 (MENTION2025) anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Menara AFFIN, Tun Razak Exchange (TRX), di sini, hari ini.
Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
Fahmi berkata kementerian turut mengguna pakai pendekatan Komunikasi Perubahan Sosial dan Tingkah Laku (SBCC) dalam beberapa kempen nasional penting melalui pelbagai inisiatif.
Beliau berkata dalam konteks kesihatan awam, masyarakat menyaksikan bagaimana komunikasi strategik memainkan peranan penting semasa pandemik COVID-19, khususnya dalam meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan komuniti.
“Dalam isu kelestarian alam sekitar, kempen kesedaran mengenai pengurusan sisa pepejal dan pengurangan penggunaan plastik sekali guna telah menunjukkan perubahan tingkah laku yang ketara.
“Dari aspek perpaduan nasional pula, naratif media yang inklusif dan sensitif terhadap budaya telah membantu memperkukuh jalinan masyarakat majmuk negara,” katanya.
Fahmi turut menggariskan lima bidang tumpuan utama bagi memperkukuh landskap media dan komunikasi negara selaras dengan agenda Malaysia MADANI, iaitu literasi media dan digital dalam kalangan generasi muda, komunikasi antara budaya dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, memperkukuh komunikasi kesihatan, mengiktiraf peranan belia dalam advokasi dan perubahan sosial, serta menggalakkan kerjasama antara kerajaan, institusi akademik, industri media dan masyarakat sivil.
MENTION2025 yang kini memasuki edisi ke-19 menghimpunkan lebih 80 peserta dan pembentang, termasuk ahli akademik, pengamal industri media dan komunikasi, pembuat dasar serta wakil komuniti dari dalam dan luar negara.
Bertemakan “Media dan Komunikasi untuk Perubahan: Memacu Transformasi dan Kesejahteraan Masyarakat”, persidangan itu memberi tumpuan kepada Social and Behaviour Change Communication (SBCC) sebagai pemacu transformasi positif dalam masyarakat.
-- BERNAMA