AM

Presiden Korea Selatan Berlepas Pulang Selepas Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN

27/10/2025 06:33 PM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

SEPANG, 27 Okt (Bernama) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung berlepas pulang pada Isnin selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.

Beliau berlepas pada 4 petang selepas upacara permaidani merah dan istiadat kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut hadir di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengucapkan selamat jalan kepada Lee dan delegasinya.

Lawatan dua hari Lee ke Kuala Lumpur menandakan kunjungan pertama beliau ke Asia Tenggara sejak memegang jawatan pada Jun.

Lee yang menghadiri sidang kemuncak itu buat julung-julung kalinya, antara lain menyentuh mengenai inisiatif Seoul untuk memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang dimeterai dengan ASEAN tahun lepas,

Beliau turut mencadangkan penganjuran sidang kemuncak khas Korea-ASEAN pada 2029 sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik.

Menerusi inisiatif itu, Lee berkata Korea Selatan berhasrat memperluas lawatan timbal balas kepada 15 juta orang setiap tahun dan meningkatkan perdagangan dua hala kepada USD300 bilion, di samping memainkan peranan lebih aktif dalam memerangi jenayah rentas sempadan, memperkukuh keselamatan maritim serta menyokong bantuan bencana bagi menjamin keamanan dan kestabilan serantau.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483941