JENAYAH & MAHKAMAH

Mohd Azani Dilantik Timbalan Ketua Polis KL Baharu

27/10/2025 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Juruiring Yang di-Pertuan Agong, Datuk Mohd Azani Omar dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang berusia 51 tahun dan berasal dari Kelantan menggantikan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad yang bersara wajib hari ini.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dan turut dihadiri pegawai kanan serta warga polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut berlangsung dalam majlis sama serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur antara ACP Anuwal Ab Wahab dan ACP Wong Yuen Chuan serta jawatan Ketua Polis Daerah Dang Wangi daripada SAC Sulizmie Affendy Sulaiman kepada ACP Sazalee Adam.

Sulizmie Affendy akan memulakan tugas sebagai Juruiring Polis kepada Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim. 

Dalam ucapannya, Fadil menyifatkan kenaikan pangkat itu sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha gigih, komitmen dan sumbangan yang diberikan pegawai terlibat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta negara.

“Semoga dengan kenaikan pangkat ini, anda akan lebih berdedikasi serta berdaya maju dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat, bangsa dan negara,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Usuf yang menamatkan khidmatnya setelah 37 tahun berkhidmat dalam PDRM berkata perjalanan kerjayanya dipenuhi dengan pengalaman berharga yang sukar dilupakan.

“Sepanjang tempoh berkhidmat, pelbagai suka duka saya harungi bersama warga pasukan, ini memberi saya sesuatu yang tidak mampu dibalas,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484006