AM

BoBoiBoy No.1 Di Netflix Malaysia, Indonesia, Singapura Dan Vietnam

28/10/2025 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Siri animasi tempatan BoBoiBoy Galaxy Baraju sekali lagi menduduki tangga pertama dalam senarai 10 Teratas Rancangan TV Netflix di Malaysia dan Indonesia, hanya beberapa hari selepas dua episod pertamanya disiarkan pada 18 Okt lepas.

Pencapaian itu mengatasi beberapa drama Korea dan siri anime popular yang lazimnya mendominasi carta penstriman platform berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, MONSTA memaklumkan siri berkenaan turut menduduki tempat pertama dalam kategori Rancangan TV Kanak-Kanak Netflix di Singapura dan Vietnam, sekali gus membuktikan daya tarikan serantau yang semakin kukuh di Asia Tenggara.

“Dua episod pertama BoBoiBoy Galaxy Baraju telah mencatat lebih 20 juta tontonan di pelbagai platform media sosial, membuktikan bahawa BoBoiBoy kekal sebagai ikon budaya pop dan antara wira paling disayangi di rantau ini.

“Peminat dari dalam dan luar negara turut memuji kualiti visual animasi bertaraf Hollywood serta jalan cerita yang menarik dan kekal dengan identiti asalnya,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Media MONSTA Faiz Zainal Abidin berkata, “Berita baik seterusnya, BoBoiBoy Galaxy Baraju akan menemui peminat di Vietnam dan India menerusi versi alih suara tempatan.”

Di bawah gerakan #MonstaHypeTrain, MONSTA berhasrat mengekalkan momentum animasi dengan pelancaran Papa Zola The Movie pada 11 Dis ini, yang menampilkan watak popular Papa Zola sebagai teraju utama. BoBoiBoy turut membuat penampilan khas dalam filem berkenaan.

Susulan kejayaan Mechamato Musim 4 dan kemunculan BoBoiBoy Galaxy Baraju, Papa Zola The Movie dijangka menjadi kemuncak barisan animasi MONSTA tahun ini.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484313