PUTRAJAYA, 28 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar pintar dan mampan di seluruh negara sekali gus memperkukuh kualiti hidup rakyat, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata antara skop utama dalam pelaksanaan PSB ialah integrasi ciri-ciri bandar pintar seperti sistem lampu isyarat, lampu jalan dan tandas pintar serta penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
“Apabila kita melakukan pembaharuan semula bandar, sudah tentu kita akan masukkan elemen bandar pintar seperti lampu isyarat pintar yang mampu mengesan kenderaan dan menukar lampu merah kepada hijau secara automatik bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menjimatkan masa.
“Begitu juga dengan lampu jalan pintar yang hanya menyala apabila malam menjelang dan padam apabila ada cahaya, menjimatkan tenaga. Kini kita juga ada tandas pintar dengan sensor automatik serta panel solar di bumbung.. semuanya ke arah kecekapan tenaga dan kelestarian,” katanya.
Nga berkata demikian kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 peringkat kebangsaan, Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) dan MyCity Expo di sini hari ini. Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Nga berkata, RUU PSB amat penting bagi memperkasa kerajaan untuk melaksanakan inisiatif pembangunan semula secara menyeluruh dan mengelak manipulasi di bawah peruntukan sedia ada seperti Akta Pengambilan Tanah.
“Tanpa Akta PSB, tangan saya terikat. Akta ini akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk membantu, memudah cara dan melaksanakan pembaharuan bandar secara lebih efisien,” katanya.
Beliau berkata KPKT kini sedang mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk menerusi Kongres Perancangan Kebangsaan yang berlangsung empat hari dan dihadiri lebih 5,000 peserta.
“Ketua Pengarah dan pasukan PLANMalaysia sedang mengumpul semua pandangan serta akan menyediakan laporan lengkap untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Pengumuman rasmi akan dibuat selepas kelulusan muktamad diterima,” katanya.
Dalam pada itu, Nga turut berkongsi kejayaan aplikasi PBTPay yang membolehkan pembayaran cukai, taksiran dan kompaun dilakukan menerusi satu platform digital, dengan kutipan melebihi RM600 juta setakat pagi ini.
“Ini menunjukkan pentingnya transformasi digital di bawah KPKT. Visi saya ialah untuk mewujudkan aplikasi yang merangkumi semua agensi KPKT termasuk PLANMalaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Perumahan Negara supaya rakyat tidak perlu lagi hadir ke pejabat, sebaliknya boleh uruskan semuanya melalui satu aplikasi sahaja,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan transformasi digital tersebut akan dilaksanakan secara berfasa dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Nga turut menegaskan bahawa objektif utama pembangunan bandar pintar bukan sekadar kemudahan infrastruktur tetapi juga untuk memastikan kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat.
“Kalau kita ada negara pintar tetapi rakyat tidak bahagia, itu tiada maknanya. Kebahagiaan rakyat ialah penanda aras kejayaan kami. Kerajaan ini berteraskan rakyat dan kemanusiaan adalah pusat kepada matlamat pembangunan kita,” katanya.
Dalam konteks pengiktirafan antarabangsa, Kuala Lumpur kini menduduki tangga ke-65 dalam Indeks Bandar Pintar 2025 yang diterbitkan oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) meningkat daripada kedudukan ke-73 tahun lepas, pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.
Nga berkata peningkatan itu membuktikan dasar kerajaan ke arah bandar pintar dan mampan berada di landasan yang tepat, dan pelaksanaan PSB dijangka akan melonjakkan lagi kedudukan negara dalam indeks global itu.
-- BERNAMA