KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan Malaysia terhadap perjanjian perdagangan akan terus berlandaskan prinsip kepusatan dengan memberi tumpuan seimbang kepada semua rakan ekonomi utama.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan memberi keutamaan kepada rakan ekonomi utama termasuk Rusia dan China, sambil mengekalkan sikap bebas dalam merebut peluang perdagangan dan pelaburan.
“Kami memberi keutamaan kepada perjanjian perdagangan yang telah ditandatangani. Kami berikan beberapa keutamaan kepada Rusia, begitu juga kepada China.
“Kami mengikut prinsip kepusatan. Yng paling penting ialah perdagangan dan pelaburan,” katanya kepada pemberita sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexey Overchuk di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.
Semalam, Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik yang membolehkan Malaysia memperoleh akses pasaran yang lebih luas berbanding persetujuan sebelum ini.
Menyentuh mengenai pertemuannya dengan Overchuk, Anwar berkata Malaysia tetap komited memperkukuh hubungan dua hala dengan Rusia dalam pelbagai sektor termasuk penyelidikan, pendidikan, sains, perdagangan dan pelaburan.
“Kami akan meneruskan hubungan dua hala, dan kami mempunyai hubungan yang baik dengan Rusia,” katanya sambil menambah bahawa ikata itu terus diperkukuh semasa lawatan rasmi beliau ke Rusia pada Mei tahun ini.
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin di Kremlin, Rusia dan kami akan terus memperkukuh hubungan ini,” katanya.
Malaysia dan Rusia menjalin hubungan diplomatik pada 1967 dan sejak itu, hubungan kedua-dua negara telah berkembang merangkumi pelbagai sektor termasuk pertahanan, sains dan teknologi serta pertukaran rakyat.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, kini menjadi tuan rumah kepada lebih 30 pemimpin dunia termasuk dari rantau ASEAN, Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan.
Para pemimpin daripada organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung selama tiga hari dan akan berakhir esok.
-- BERNAMA