AM

Duta AS Kagan Nafi Dakwaan Perjanjian Perdagangan AS–Malaysia "Berat Sebelah"

27/10/2025 09:14 PM

Oleh Nurul Isnaini Mohd Muslim

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) – Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D. Kagan hari ini menafikan dakwaan pihak pembangkang Malaysia bahawa perjanjian perdagangan timbal balas baharu antara kedua-dua negara lebih memihak kepada Amerika Syarikat (AS), sebaliknya beliau menjangkakan perjanjian itu akan meningkatkan keyakinan pelabur dan melonjakkan pelaburan AS di Malaysia.

Kagan berkata perjanjian perdagangan yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat pada Ahad sempena Sidang Kemuncak ASEAN itu bukanlah “berat sebelah”, sebaliknya membantu menangani ketidakseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata perjanjian perdagangan itu akan meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur untuk datang dan melabur di Malaysia, sambil meningkatkan akses Malaysia ke dalam pasaran AS. 

Kagan turut menegaskan bahawa eksport Malaysia ke Amerika Syarikat terus meningkat tahun ini walaupun dikenakan tarif, yang pada awalnya ditetapkan pada kadar 25 peratus pada Julai sebelum dikurangkan kepada 19 peratus bulan berikutnya hasil rundingan kedua-dua pihak.

“Pelaburan terus mengalir masuk ke Malaysia kerana keinginan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan Barat yang lancar dan bersepadu, di mana Malaysia memainkan peranan yang sangat penting. Jadi, kami percaya perjanjian ini akan melonjakkan lagi perkembangan itu,” katanya.

Berdasarkan perjanjian perdagangan yang dimeterai semalam, tarif ke atas barangan Malaysia kekal pada kadar 19 peratus, namun beberapa barangan seperti minyak sawit dan semikonduktor dikecualikan cukai.

Amerika Syarikat merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia, manakala rakan dagang kedua terbesar selepas China.

–BERNAMA

 

 

 


 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484079