Oleh Ahmad Erwan Othman
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengalu-alukan kesediaan New Zealand untuk menyertai Majlis Halal ASEAN yang akan ditubuhkan tidak lama lagi, sekali gus menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam industri halal global.
Berucap pada acara Diplomasi Halal yang dianjurkan oleh New Zealand, Ahmad Zahid berkata industri halal tidak terhad kepada sempadan agama, tetapi mencerminkan nilai sejagat seperti kepercayaan, ketelusan dan akauntabiliti yang menghubungkan masyarakat pelbagai bangsa dan agama.
“Saya berbesar hati mengetahui kesediaan New Zealand untuk menyertai Majlis Halal ASEAN, sebuah platform yang akan menyelaraskan piawaian serta memperkukuh daya saing di peringkat global.
“Halal bukan hanya untuk umat Islam, ia melambangkan standard tertinggi dari segi kualiti, keselamatan dan integriti dalam pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, perbankan, insurans, kosmetik serta farmaseutikal,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Halal Kebangsaan, berkata Malaysia - melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Halal Malaysia - diiktiraf di peringkat global kerana sistem pensijilan halalnya yang mantap dan dijadikan penanda aras oleh banyak negara.
Beliau berkata Malaysia dan New Zealand telah lama menjalin kerjasama dalam jaminan halal, sambil menambah bahawa semua produk ayam yang dihasilkan di New Zealand diperakui halal dengan sokongan penuh kerajaan.
“Kami gembira melihat pertubuhan perdagangan kedua-dua negara terus bekerjasama rapat. Produk halal dari New Zealand sentiasa mendapat sambutan baik daripada pengguna,” katanya.
Ahmad Zahid berkata industri halal kekal sebagai tonggak utama kerjasama Malaysia-New Zealand, sambil menegaskan kedua-dua negara boleh memperluas peluang melalui Aturan Pelaksanaan Halal (HIA).
“Kami mengalu-alukan pemuktamadan Aturan Pelaksanaan Halal ini kerana ia menjadi asas kepada pewujudan sistem yang akan memperkemas proses pensijilan dan memperkukuh keyakinan terhadap integriti rantaian bekalan halal,” katanya.
Beliau berkata rantau ASEAN yang mempunyai hampir 700 juta penduduk mewakili pasaran halal yang besar, dan Malaysia berhasrat untuk menjadi pintu masuk halal ke ASEAN dengan New Zealand sebagai rakan strategik yang dipercayai.
Ahmad Zahid turut menggesa New Zealand agar menganggap Malaysia sebagai rakan strategik -bukan sahaja dalam pembangunan industri halal tetapi juga dalam kerjasama yang lebih luas untuk menangani cabaran serantau dan global.
“Anggaplah Malaysia sebagai rakan anda, bukan sahaja dalam sektor halal tetapi dalam semua bidang kerjasama yang menyumbang kepada keamanan, kemakmuran dan kemajuan bersama,” katanya.
Terdahulu, Luxon dan Ahmad Zahid menyaksikan pertukaran nota antara Malaysia dan New Zealand berkaitan HIA.
Pertukaran itu dilakukan antara Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia Mike Walsh.
-- BERNAMA