AM

Malaysia Sedia Kongsi Pengalaman Pembangunan Luar Bandar Dengan Timor-Leste

28/10/2025 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Malaysia komited untuk berkongsi pengalaman dalam aspek pembangunan kawasan luar bandar dengan Timor-Leste selaku negara anggota ASEAN yang baharu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Malaysia bersedia menjalin kerjasama dengan menempatkan pegawai dari Timor-Leste, khususnya di kementerian itu, bagi tempoh tertentu di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

“Kita juga boleh melaksanakan program ‘Training for Trainers’ untuk mereka berada di sini, dan pegawai kanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga boleh ke Timor-Leste bagi memperincikan beberapa projek pembangunan yang boleh dikongsi berdasarkan pengalaman kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Timor-Leste mengenai kerjasama dalam bidang pembangunan luar bandar, di sini hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ahmad Zahid dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Kerjasama Timor-Leste Dr Bendito dos Santos Freitas, bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam bidang pembangunan luar bandar.

Ahmad Zahid berkata, selain aspek infrastruktur, Malaysia turut bersedia berkongsi kepakaran dalam bidang prasarana, utiliti serta kemudahan asas termasuk pendidikan, latihan keusahawanan, teknikal dan bidang lain di bawah tanggungjawab KKDW.

“Saya sendiri telah ke Timor-Leste dan meninjau kawasan desa yang masih ketinggalan, dan kita bersedia membantu.

“Dalam bidang pendidikan, khususnya prasekolah, mereka telah mempunyai program tersendiri, namun kita berhasrat memperkukuh sistem sedia ada melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

“Begitu juga dalam bidang keusahawanan, walaupun terdapat kementerian lain yang melaksanakannya, kita akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan luar bandar,” katanya.

Selain melahirkan usahawan dan teknousahawan, Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut bersedia berkongsi pengetahuan dan teknologi melalui institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mempercepatkan kemajuan Timor-Leste agar setara dengan negara-negara ASEAN lain.

Ahmad Zahid turut menggalakkan pelabur tempatan meneroka peluang pelaburan di Timor-Leste memandangkan jumlah pelabur Malaysia di negara itu masih kecil pada masa ini.

Sementara itu, Bendito berkata pihaknya berharap MoU berkenaan dapat memperkukuh jalinan kerjasama dua hala dengan Malaysia dalam aspek pembangunan negara, khususnya melibatkan perubahan teknologi, perkongsian pengetahuan dan digitalisasi yang dapat membantu rakyat di kawasan luar bandar.

“Kami amat menghargai peluang untuk menimba pengalaman daripada Malaysia. Diharapkan kerjasama ini dapat membolehkan kita membangun bersama demi manfaat masyarakat dan masa depan hubungan dua hala,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484325