EKONOMI

LPI Capital Catat Untung Bersih Lebih Rendah Sebanyak RM114.83 Juta Pada Suku Ketiga 2025

28/10/2025 03:01 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- LPI Capital Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah iaitu sebanyak RM114.83 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2025 daripada RM123.94 juta pada suku ketiga 2024.

Menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, perolehan meningkat sebanyak RM49.5 juta atau 9.9 peratus kepada RM549.31 juta daripada RM499.83 juta sebelumnya.

LPI Capital berkata pertumbuhan perolehan yang lebih tinggi disumbang oleh segmen insurans amnya yang menokok kepada RM526.5 juta daripada RM477.9 juta pada suku ketiga 2024.

“Segmen pegangan pelaburan mencatatkan perolehan yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM22.8 juta daripada RM21.9 juta pada suku ketiga 2024, disumbangkan oleh pendapatan dividen bebas cukai lebih tinggi yang diterima daripada pelaburan ekuiti,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga September 2025 (sembilan bulan 2025), keuntungan bersih menurun kepada RM295.98 juta daripada RM303.23 juta pada sembilan bulan 2024 manakala perolehan bertambah sebanyak 9.2 peratus kepada RM1.57 bilion daripada RM1.44 bilion sebelumnya.

“Peningkatan perolehan tersebut dipacu terutamanya oleh hasil segmen insurans am yang meningkat sebanyak 9.3 peratus atau RM129.9 juta berbanding tahun sebelumnya.

“Pada masa yang sama, segmen pegangan pelaburan mencatatkan hasil yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM47.4 juta daripada RM44.2 juta pada 2024, disumbangkan oleh penerimaan pendapatan dividen yang lebih tinggi,” katanya.

Berkaitan dengan prospek, LPI Capital berkata kumpulan itu akan memperketat proses penaja jamin serta mengguna pakai model risiko dan penetapan harga baharu apabila aliran kerugian menunjukkan penurunan.

Syarikat itu memberitahu aliran tuntutan perubatan serta kesihatan merosot berikutan inflasi perubatan yang meningkat selain peningkatan penggunaan dan ia dijangka terus menjadi faktor yang menekan nisbah gabungan.

“Oleh itu, kumpulan akan memantau dengan teliti portfolio perubatannya serta melaksanakan reka bentuk semula produk dan penetapan semula harga risiko dalam julat yang diluluskan oleh pihak kawal selia bagi menambah baik pengalaman tuntutan bagi portfolio ini,” katanya.

Syarikat itu menambah kecerdasan buatan dan automasi tuntutan digital juga akan digunakan untuk meningkatkan pengurusan tuntutan serta memperbaiki pengalaman pelanggan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484334