KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa komitmen Malaysia untuk terus berinteraksi dengan semua negara, termasuk kuasa besar, tidak seharusnya ditafsir sebagai menyetujui sebarang tindakan melampau atau provokatif, khususnya di kawasan sensitif seperti Laut China Selatan.
Menjawab soalan mengenai insiden terbaharu yang melibatkan pesawat tentera China melepaskan suar berhampiran pesawat pengawasan Australia di kawasan perairan yang dipertikaikan, beliau berkata Malaysia mengambil pendekatan berprinsip dengan menyuarakan kebimbangan selepas fakta disahkan sepenuhnya, sambil meneruskan dialog konstruktif dengan semua pihak terlibat.
“Sebaik sahaja kami mengenal pasti fakta, kami akan bangkitkan (isu) ini. Interaksi tidak bermakna kami membiarkan sebarang tindakan melampau. Pihak China tahu pendirian kami,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese, selepas Mesyuarat Tahunan Pemimpin Malaysia-Australia Ketiga, di sini hari ini.
Anwar berkata walaupun Malaysia sebuah negara kecil, ia tetap mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dengan penuh kebijaksanaan dan keseimbangan.
“Dalam perbincangan saya secara peribadi dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, saya tahu kami mewakili sebuah negara amat kecil dengan ekonomi yang agak kecil, namun kami tetap mewakili sebuah negara - dan kami mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat kami,” katanya.
“Sudah tentu kami memerlukan kebijaksanaan supaya kami tidak dilihat berkonfrontasi tanpa sebab, tetapi apabila sesuatu isu telah disahkan, kami wajar membangkitkannya,” katanya.
Pada masa sama, Anwar menegaskan bahawa Pemusatan ASEAN tidak boleh disalah tafsir sebagai alasan untuk berdiam diri, sambil menekankan bahawa negara-negara serantau mempunyai tanggungjawab untuk bersuara mengenai isu global dan serantau yang kritikal - daripada krisis di Myanmar, perang di Semenanjung Gaza hingga konflik Rusia-Ukraine.
“Pemusatan bermakna kami bersuara; kami mengekalkan pemusatan tetapi pada masa sama kami turut berinteraksi dengan rakyat Myanmar, serta isu Gaza dan Rusia-Ukraine,” kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA