AM

TransNusa Lancar Penerbangan Terus Jakarta–Pulau Pinang Bermula 24 Nov

28/10/2025 05:52 PM

GEORGE TOWN, 28 Okt (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang telah menerima makluman daripada TransNusa Aviation berhubung penerbangan terus antara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno‑Hatta, Jakarta, Indonesia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bermula 24 Nov. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata laluan TransNusa ke Pulau Pinang mencerminkan komitmen dan kesiapsiagaan kerajaan negeri untuk menerima lebih ramai pelancong antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). 

“Pelancaran laluan baharu ini menambah lagi hubungan antara Pulau Pinang dan Indonesia serta memperkukuh keterhubungan udara serantau selain mengeratkan hubungan budaya serta rakyat dua negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Penerbangan yang beroperasi di bawah kod penerbangan 8B-633 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 5.30 pagi waktu tempatan, dan tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang pada 9 pagi. 

Untuk permulaan, penerbangan itu beroperasi tiga kali seminggu iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat sebelum menjadi operasi harian bermula Disember ini, manakala penerbangan pulang berlepas dari Pulau Pinang pada 9.30 pagi dan tiba di Jakarta pada 10.55 pagi waktu tempatan. 

Wong berkata pelancaran penerbangan itu amat bertepatan mengambil kira kedudukan Pulau Pinang dalam penganjuran VM2026 dan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026.

Beliau berkata berdasarkan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pelancongan perubatan paling berjaya, menyumbang kira-kira 45 peratus kepada jumlah keseluruhan hasil pelancongan perubatan negara. 

Selain itu, Wong berkata Indonesia konsisten sebagai pasaran sumber terbesar negara bagi pelancongan perubatan, menyumbang kira-kira 65.8 peratus daripada hasil pelancongan perubatan negara dan sehingga 90 peratus kepada perjalanan penjagaan kesihatan di utara Malaysia. 

“Selain daripada segmen perubatan, Indonesia juga telah lama kekal sebagai ketibaan antarabangsa teratas Pulau Pinang iaitu 284,364 pelawat menerusi penerbangan antarabangsa dari Januari hingga September lepas, meningkat 2.5 peratus daripada 277,533 bagi tempoh sama tahun lepas. 

“Dalam konteks ini, pelancaran penerbangan terus TransNusa Jakarta-Pulang Pinang benar-benar memenuhi permintaan pasaran,” katanya.  

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484445