AM

Australia Sasar Pelaburan Pendidikan Lebih Besar Di Rantau Asia Tenggara - Albanese

28/10/2025 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Australia menyasarkan pelaburan yang lebih besar dalam sektor pendidikan serantau sebagai sebahagian daripada Strategi Ekonomi Asia Tenggara 2040, kata Perdana Menteri Anthony Albanese hari ini.

Beliau berkata pelancaran kampus baharu Monash University Malaysia (Monash University) di Kuala Lumpur menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama pendidikan antara Australia dan Malaysia.

“Ini sememangnya satu pembangunan berani. Ia merupakan langkah penting ke hadapan bagi Monash University Malaysia serta memperkukuh lagi ikatan antara kedua-dua negara kita. Rakyat Australia dan Malaysia kini lebih memahami antara satu sama lain melalui pembelajaran bersama,” katanya.

Albanese berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kampus Masa Depan Monash University Malaysia di Kuala Lumpur.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke, Naib Canselor dan Presiden Monash University Profesor Sharon Pickering serta Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Albanese mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Selasa selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di ibu negara.

Monash University akan bekerjasama dengan TRX City bagi merealisasikan pelaburan tempatan bernilai RM2.8 bilion untuk membangunkan kampus baharu universiti itu di Kuala Lumpur.

Pelaburan tersebut dijangka menyumbang sebanyak RM19.1 bilion kepada ekonomi Malaysia dalam dekad akan datang melalui pelaburan langsung dan impak ekonomi yang luas dalam infrastruktur, inovasi, tenaga kerja, pelajar dan komuniti.

Albanese berkata Malaysia merupakan antara rakan utama Australia dalam pendidikan rentas negara, dengan sekurang-kurangnya empat universiti Australia menubuhkan kampus di negara ini.

Beliau turut menyatakan Monash University, yang ditubuhkan pada 1998, bukan sahaja universiti Australia pertama membuka kampus di Malaysia tetapi juga universiti antarabangsa pertama dari mana-mana negara berbuat demikian.

Albanese berkata sejak itu, ia telah berkembang menjadi kampus terbesar dan paling berjaya di luar Australia, dengan jumlah pelajar tertinggi direkodkan pada 2024 melebihi 11,000 pelajar dari 85 negara, termasuk 64 peratus daripadanya rakyat Malaysia.

Perdana Menteri Australia itu turut memuji rakan sejawatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keyakinan bersama bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam memajukan individu dan negara.

“Satu daripada sebab kerajaan saya menyokong pendidikan - dan saya tahu rakan saya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, turut berpendapat sama - kerana akses kepada pendidikan bukan sekadar membantu individu, tetapi turut mengangkat martabat sesebuah negara serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya.

Sejak 2019, kerjasama penyelidikan antara Monash University dan ASEAN telah diperluas ke pelbagai bidang utama termasuk teknologi digital, kecerdasan buatan, keselamatan siber, perubahan iklim, kewangan hijau dan penjagaan kesihatan, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


SRH SHI KLS

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484480