EKONOMI

Majlis Perniagaan AS-ASEAN Perkukuh Hubungan Dengan ASEAN Melalui Pameran Inovasi

29/10/2025 12:29 AM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (USABC), dengan kerjasama Jawatankuasa ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (COSTI), baru-baru ini menganjurkan USABC Innovation Showcase di luar Mesyuarat COSTI ke-88 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Dalam satu kenyataan, USABC berkata pameran itu menonjolkan bagaimana sains, teknologi dan inovasi mempercepatkan pertumbuhan mampan dan inklusif di seluruh Asia Tenggara.

Acara itu menghimpunkan pembuat dasar ASEAN, peneraju sektor swasta AS dan inovator serantau untuk bertukar-tukar amalan terbaik serta menyerlahkan kerjasama AS-ASEAN dalam memacu inovasi merentas sektor-sektor utama.

“Inovasi bukan sekadar tentang idea baharu; ia berkaitan dengan mewujudkan penyelesaian praktikal yang dapat meningkatkan kualiti hidup dan memperkukuh komuniti di seluruh ASEAN.

“Dengan mengekalkan kerjasama yang kukuh antara kerajaan dan sektor swasta, kita dapat memperkukuh ekosistem inovasi. Ini seterusnya akan meningkatkan kemakmuran dan memperbaiki kualiti hidup rakyat,” kata Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Serantau USABC Ted Osius.

Pameran itu menampilkan pembentangan daripada Corteva Agriscience dan Illumina, dua syarikat terkemuka AS yang memacu inovasi dalam bidang pertanian dan bioteknologi.

“Kami komited untuk memastikan inovasi mampan kami membantu petani mengatasi cabaran sukar sambil melindungi sumber semula jadi,” kata Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Perindustrian untuk ASEAN di Corteva Somsak Samanwong.

Sementara itu, Illumina mempamerkan teknologi penjujukan gennya dan aplikasinya dalam inisiatif genomik kebangsaan, termasuk program Perubatan Ketepatan Negara Singapura, dengan menonjolkan bagaimana genomik ketepatan dapat memperkukuh sistem penjagaan kesihatan dan menyokong transformasi digital yang lebih meluas di ASEAN.

“Illumina memberi tumpuan untuk menjadikan penjujukan DNA lebih pantas, ringkas dan mudah diakses oleh pelanggan kami,” kata Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Illumina Singapura William Ng.

Acara itu mengesahkan semula peranan kepimpinan majlis berkenaan dalam memajukan kerjasama berasaskan sains dan inovasi sektor swasta untuk memacu pertumbuhan mampan ASEAN.

-- BERNAMA


 

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484631