AM

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 Jana Hasil Positif - Jurucakap Kementerian Luar China

29/10/2025 12:36 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- China melihat Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan telah menjana hasil yang positif, kata jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun.

Beliau berkata justeru China dan negara anggota ASEAN perlu berdiri lebih teguh untuk solidariti dan kekuatan, mengumpulkan usaha lebih besar, menentang gangguan luaran, dan mempertahankan hak serta kepentingan yang sah melalui sokongan bersama dan tindakan terselaras.

“Selain itu, China dan ASEAN perlu merangsang pertumbuhan ekonomi yang stabil dan utuh melalui kerjasama yang saling melengkapi, mengukuhkan kepercayaan strategik bersama, berusaha mencapai pertumpuan kepentingan, membina hubungan lebih rapat dan terus menggalakkan pembinaan komuniti China-ASEAN yang lebih erat dengan masa depan bersama,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan di laman web Kementerian Luar China hari ini.

Memetik kata-kata Perdana Menteri Li Qiang mengenai Sidang Kemuncak China-ASEAN, Guo berkata para pemimpin negara ASEAN yang hadir mengakui hubungan ASEAN-China telah menjadi contoh kerjasama serantau berlandaskan saling menghormati dan demi manfaat bersama.

Beliau berkata para pemimpin juga menyatakan kesediaan untuk membawa Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China ke tahap yang lebih tinggi.

Li menghadiri Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-28, Sidang Kemuncak ASEAN+3 ke-28, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 dan Mesyuarat Pemimpin Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kelima pada 27 dan 28 Oktober.

Bagi Sidang Kemuncak ASEAN+3, Guo berkata China bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk mencapai sinergi strategi pembangunan yang teguh, mendukung keterbukaan dan kerjasama, terus memanfaatkan potensi ekonomi, memupuk persekitaran yang kondusif untuk pembangunan serantau, dan memperkukuh kerjasama dalam perindustrian dan rantaian bekalan.

Terdahulu hari ini, ASEAN dan China memeterai Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, menandakan fasa baharu perdagangan dua hala antara perkumpulan itu dengan ekonomi kedua terbesar dunia tersebut.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan China Wang Wentao, menandatangani ACFTA 3.0 dalam satu majlis yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Li.

Mengenai hasrat Malaysia untuk menjadi ahli penuh BRICS, Guo berkata BRICS merupakan platform penting bagi kerjasama antara ekonomi yang sedang pesat membangun dan negara sedang membangun di samping sumber dorongan ke arah multipolar dan demokrasi yang lebih luas dalam hubungan antarabangsa.

“Kami mengalu-alukan Malaysia dan lebih ramai rakan sehaluan untuk menyertai kerjasama BRICS di samping bersama-sama berusaha ke arah mewujudkan orde antarabangsa yang lebih adil dan saksama,” katanya.

Beliau berkata platform tersebut diiktiraf secara meluas oleh kalangan negara Selatan Global, dan anggota BRICS menghargai kesediaan rakan Selatan Global untuk menyertai kerjasama BRICS.

BRICS merujuk kepada kumpulan ekonomi sedang pesat membangun yang pada asalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexey Overchuk dan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva menyuarakan sokongan penuh terhadap aspirasi Malaysia untuk menjadi ahli penuh BRICS.

Kedua-dua pemimpin itu juga menyatakan Malaysia ialah rakan kongsi semula jadi dengan nilai bersama dan potensi ekonomi yang semakin berkembang.

-- BERNAMA

 

 

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484633