KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Gandingan beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun menepati ramalan apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Hylo 2025 selepas menewaskan rakan senegara Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi dalam aksi pembukaan yang sengit di Saarbrucken, Jerman, malam ini.
Beregu nombor lima dunia itu mempamer ketahanan mental dan ketenangan permainan untuk mencatat kemenangan 21-16, 19-21, 21-16 dalam pertarungan selama 53 minit.
Kejayaan mereka hadir ketika satu lagi pasangan negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tersingkir selepas tewas 16-21, 17-21 kepada beregu Indonesia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana.
Wei Chong-Kai Wun dijadual bertemu Leo Rolly-Bagas Maulana pada pusingan kedua.
Sementara itu, dua beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dijangka turun ke gelanggang pada awal pagi esok.
-- BERNAMA