RENCANA

Premis Zink Berkarat Tarik Tumpuan Pengunjung Ke Peram Cafe

29/10/2025 11:18 AM
Daripada Balkish Awang

Baru berusia kira-kira dua bulan, namun nama Peram Cafe di Jalan Raja Syed Alwi, Kangar, Perlis sudah mula meniti di bibir pemburu kelainan yang terpukau dengan nilai estetik bangunan kafe itu.

Luaran premis yang berdindingkan kepingan zink berkarat hingga bumbung, menyerlahkan bangunan ini dari jauh sementara tingkap kaca lut sinar memaparkan seni batu bata tanpa kemasan berserta kayu di bahagian dalam dengan kerangka besi, juga tanpa kemasan, sebagai struktur utama.

Berkonsep “industrial rustic”, bahagian dalam kafe ini bagaimanapun memberikan aura hangat dan mesra disepadukan dengan kemodenan teknologi menerusi mesin bru kopi dan juga hidangan menu Barat. 

Beroperasi sejak 22 Ogos lalu, kafe ini dimiliki usahawan muda Mohd Syukri Abdul Rahim, 29 yang amat meminati bidang seni bina, terutamanya struktur binaan lama.

     

DARI BIDANG HARTANAH KE PERNIAGAAN

 

Berkongsi lanjut tentang “sejarah” Peram Cafe, Mohd Syukri yang berkelulusan dalam bidang pengurusan hartanah daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata sebelum dijadikan kafe, premis itu pada asalnya sebuah kedai barang logam namun telah terbiar sejak lima tahun sebelumnya.

“Ketika itu saya memutuskan untuk bertukar bidang daripada eksekutif bangunan di sebuah syarikat swasta kepada perniagaan makanan dan minuman (F&B) dan sedang mencari kedai lama untuk merealisasikan konsep vintaj yang saya mahukan.

“Bangunan ini terbiar begitu sahaja dan tiada penyewa. Melihat potensinya, saya mula membuat penyelidikan dan terhasillah konsep ‘industrial rustic’ yang menggandingkan zink berkarat dengan batu bata tanpa kemasan serta panel kaca lut sinar ini,” kongsinya kepada Bernama.


Mohd Syukri Abdul Rahim

Tambahnya, beliau juga mengekalkan sepenuhnya reka bentuk asal bangunan termasuk struktur kayu di dalamnya.  

 Menurut anak muda itu, walaupun mempunyai kelulusan akademik yang tidak ada kaitan dengan perniagaan, beliau memanfaatkan pengalaman yang dikutip semasa bekerja dalam bidang F&B ketika cuti semester untuk menjalankan perniagaan tersebut.     

“Dulu, semasa belajar di UiTM, setiap kali cuti semester saya akan bekerja di kedai F&B bagi mempelajari selok-belok perniagaan dan pengalaman itulah yang saya praktikkan sekarang, selain meninjau perniagaan kafe di Indonesia dan Thailand,” katanya yang menggunakan simpanan sendiri untuk memulakan Peram Cafe.

 

KOPI PERAM

 

Sedar akan kewujudan begitu banyak kafe yang menawarkan hidangan kopi sebagai menu utama, Mohd Syukri berkata beliau mencari kelainan dengan menyediakan menu kopi “peram”.

“Kopi yang dibru disimpan di dalam peti sejuk selama 24 jam bagi menghasilkan rasa dan aroma yang berbeza. Dari segi menu makanan pula, kami menghidangkan makanan berasaskan keju krim, antaranya burnt cheese cake dan bagel,” jelasnya menambah hidangan yang paling mendapat sambutan ialah earl grey burnt cheese cake dan bagel jalapeno dipadankan dengan pelbagai jenis krim keju.


Kopi yang dibru disimpan di dalam peti sejuk selama 24 jam bagi menghasilkan rasa dan aroma yang berbeza.

Menurut anak jati Kangar ini, sejak beroperasi, kafe itu mendapat sambutan menggalakkan baik daripada penduduk setempat ataupun pengunjung luar daerah termasuk pelancong luar negara yang tertarik dengan ciri-ciri estetik bangunan.

“Pelanggan yang datang ke Peram Cafe terdiri daripada pelbagai peringkat usia termasuk golongan berkeluarga merentasi pelbagai bangsa kerana makanan di kafe kami sesuai dinikmati oleh semua dan tidak kira masa.

“Harga makanan dan minuman juga berpatutan, tidak melebihi RM15 untuk satu hidangan kek, bagel dan minuman,” katanya, menambah kafe dibuka setiap hari bermula 11 pagi hingga 11 malam.

 

PERCUBAAN BERANI

 

Mengakui tidak mudah mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan mengusahakan perniagaan sendiri sebagai sumber pendapatan utama, Mohd Syukri berkata beliau seorang yang optimis dan tidak takut mengambil risiko. 

“Memang ini perkara paling berisiko yang pernah saya lakukan di sepanjang usia saya ini. Namun, saya yakin mampu mengharungi cabaran yang mendatang. Yang penting kita perlu rancang dengan baik untuk memastikan perniagaan Peram Cafe ini berterusan. 

“Bagi saya, seseorang itu perlu mempunyai wawasan dan sasaran pencapaian untuk tiga atau empat tahun akan datang,” kongsinya.


Berkonsep “industrial rustic”, bahagian dalam Peram Cafe memberikan aura hangat dan mesra.

Menurut beliau lagi, sekalipun masih amat mentah dalam perniagaan, beliau percaya sekiranya perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan adalah yang terbaik berserta makanan dan minuman berkualiti, pasti perniagaan dapat bertahan. 

 “Sudah tentu perlunya usaha yang kuat serta inisiatif daripada pengusaha dalam  memastikan pemasaran  yang cukup dan kualiti makanan yang terbaik kepada pelanggan untuk terus kekal relevan di dalam pasaran F&B ini," katanya.

Mengulas cabaran dihadapi dalam usaha membuka kafe itu, beliau berkata antara cabaran terbesar untuk anak muda menceburi perniagaan ialah kewangan serta idea.

"Untuk orang muda, modal adalah keutamaan kerana ia langkah permulaan. Anak muda perlu rajin mencari insentif yang ditawarkan pihak kerajaan. Pada pandangan saya kerajaan juga perlu memberi peluang dengan melonggarkan sedikit syarat apa-apa permohonan serta memberi penerangan yang lebih dekat dengan golongan muda untuk menceburi bidang perniagaan," katanya.

Selain itu kata Mohd Syukri, anak muda juga perlu mencari kelainan apabila berhasrat ingin menjalankan perniagaan termasuk kafe.

 

MAHU LUASKAN PERNIAGAAN

 

Menjadi hasrat dan impian Mohd Syukri untuk melihat perusahaan yang dikendalikannya mengorak langkah ke depan dengan sasaran melebarkan sayap perniagaannya dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Saya menyasarkan untuk membuka cawangan di Semenanjung Malaysia dan mahu mendalami ilmu pembukaan francais bagi mengembangkan lagi perniagaan.

“Selain itu kami kini juga dalam proses penyelidikan dan pembangunan beberapa hidangan tambahan untuk disajikan kepada pelanggan Peram Cafe," katanya yang dibantu lapan pekerja.


Antara menu istiimewa yang terdapat di Peram Cafe.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati anak muda di negara ini yang berhasrat menceburi bidang keusahawanan F&B agar memastikan mereka mempunyai minat yang mendalam.

"Untuk melakukan sesuatu perkara, pertama sekali kita perlu minat, belajar dan diiringi dengan usaha. Namun, minat sahaja tidak mencukupi, perlu juga ada ilmu dan usaha keras. Selagi kita berusaha dengan bersungguh-sungguh, insya-Allah tidak akan sia-sia.

"Mulakan dengan pergi menimba ilmu perniagaan dan belajar berniaga secara kecil kecilan terlebih dahulu. Saya juga bermula dari bawah dengan berniaga kecil-kecilan di setiap acara yang saya sertai," katanya.

Selain itu Mohd Syukri berkata mereka yang mahu meneroka dunia perniagaan kafe juga perlu bijak mencari kelainan menerusi identiti kafe yang ingin dibuka.

"Sebagai contoh, Rotiboy hanya fokuskan pada roti mereka. Sedikit sahaja menu ditawarkan tetapi kedai itu boleh kekal bertahun-tahun. Subway hanya fokuskan pada sandwic. Begitu juga dengan kita cuba mencari identiti sendiri agar diterima  dan tidak terikut dengan cara orang lain," katanya yang mendapat sokongan daripada isteri tercinta.

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484667