JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara Kerajaan Rugi RM3.07 Juta Terperdaya Pelaburan Saham Tidak Wujud

27/10/2025 06:15 PM

JOHOR BAHRU, 27 Okt (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang pesara kerajaan kerugian RM3.07 juta selepas terperdaya dengan iklan pelaburan saham tidak wujud dalam talian pada Julai lepas. 

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata wanita berusia 62 tahun itu melihat iklan berkenaan di media sosial dan tertarik dengan keuntungan segera serta mudah yang dijanjikan, sebelum menekan pautan yang tertera dan berhubung dengan suspek.

Beliau berkata warga emas itu juga diminta untuk memuat naik aplikasi di telefon bimbit kononnya bagi membolehkan mangsa memantau pelaburan yang dilakukannya.

“Mangsa yang percaya dengan keuntungan segera dijanjikan kemudiannya membuat 29 transaksi pindahan wang berjumlah RM3,070,443 ke enam akaun bank berbeza atas arahan suspek, antara 19 Ogos hingga 15 Okt lepas. 

“Mangsa bagaimanapun mengesyaki telah diperdaya apabila gagal membuat pengeluaran wang pelaburan melalui aplikasi yang diberikan dan suspek gagal dihubungi, sebelum dia membuat laporan polis pada 24 Okt lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ab Rahaman berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483994