KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Sebanyak 909 mangsa banjir daripada 254 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak dan Kedah pagi ini berbanding 913 orang malam tadi.
Di PERAK, jumlah mangsa kekal 139 orang daripada 38 keluarga yang berlindung di dua PPS di daerah Manjung.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai kekal menempatkan 130 orang daripada 36 keluarga manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu menempatkan sembilan orang daripada dua keluarga.
Sementara itu di KEDAH, sebanyak 770 orang daripada 216 keluarga masih tinggal di lima PPS pagi ini, berbanding 774 orang daripada jumlah keluarga yang sama semalam.
Berdasarkan laporan JPBN Kedah, daerah Pendang masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 580 orang daripada 162 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS.
Di Kota Setar pula, 138 orang daripada 38 keluarga masih berlindung di sebuah PPS, manakala di Pokok Sena sebanyak 52 orang daripada 16 keluarga ditempatkan di satu PPS.
-- BERNAMA