AM

Banjir Di Kedah, Perak Semakin Pulih, Jumlah Mangsa Terus Berkurangan Petang Ini

28/10/2025 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Keadaan banjir di Kedah dan Perak terus menunjukkan trend pemulihan apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 985 orang petang ini berbanding 1,442 orang pagi tadi.

Di KEDAH, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataannya memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 781 orang daripada 217 keluarga, berbanding 1,005 orang daripada 282 keluarga pagi tadi.

Kesemua mangsa dari daerah Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena itu kini ditempatkan di lima PPS yang masih beroperasi.

Pendang kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 576 orang daripada 160 keluarga, diikuti Kota Setar (135 orang daripada 36 keluarga) dan Pokok Sena (70 orang daripada 21 keluarga).

Sementara itu, di PERAK, keadaan turut menunjukkan perkembangan positif apabila empat PPS ditutup petang ini, dengan jumlah mangsa menurun kepada 204 orang daripada 59 keluarga di dua PPS yang masih beroperasi di daerah Manjung, berbanding 437 orang daripada 128 keluarga pagi tadi.

Menurut Sekretariat JPBN Perak, seramai 130 orang daripada 36 keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, manakala 74 orang daripada 23 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Batu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484482