KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Johor menjadi negeri kelima tertinggi dari segi bilangan penduduk terlibat dalam sektor pertanian selepas Sabah, Sarawak, Kedah dan Perak.
Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Johor, Laporan Interim Banci Pertanian 2024 yang dilancarkan hari ini merekodkan bahawa daripada 106,038 pegangan pertanian di negeri itu, 102,460 daripadanya merupakan pegangan pertanian individu, manakala 3,578 merupakan pertubuhan.
“Tiga daerah teratas di Johor yang memiliki pegangan pertanian tertinggi ialah Batu Pahat iaitu seramai 18,719 orang, Segamat (17,982) dan Muar (16,244).
“Meskipun berada di tangga kelima dalam bilangan pegangan pertanian, Johor masih sebagai penyumbang utama kepada prestasi sektor pertanian negara dengan merekodkan nilai jualan tertinggi iaitu sebanyak RM27.3 bilion atau 16.9 peratus dari nilai keseluruhan jualan pertanian di Malaysia, diikuti Pahang dan Sabah masing masing RM25.1 bilion (15.5 peratus) dan Sarawak RM23.6 bilion (14.6 peratus),” menurut kenyataan itu.
Laporan Interim Banci Pertanian 2024 dilancarkan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, bersempena Karnival Agro Johor 2025 dan dihadiri barisan Exco Kerajaan Negeri Johor.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Norazman Ayob, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia Datuk Nor Sam Alwi dan Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidi.
DOSM Johor memaklumkan nilai jualan sebanyak RM27.3 bilion itu, dijana menerusi prestasi cemerlang kesemua komponen sektor pertanian iaitu subsektor tanaman (76.7 peratus), diikuti subsektor ternakan (17.2 peratus), subsektor Akuakultur (3.7 peratus) dan subsektor perikanan (2.3 peratus).
Dari segi nilai jualan mengikut daerah pula, Kluang mencatatkan nilai jualan berjumlah RM5.0 bilion, diikuti Kota Tinggi (RM4.3 bilion), Batu Pahat (RM3.8 bilion), Segamat (RM3.68 bilion) dan Muar (RM2.8 bilion).
“Sementara itu, lebih 70 peratus pegangan pertanian di Johor terdiri daripada individu yang berumur 46 tahun dan ke atas. Selain itu, daripada perspektif pendidikan pula lebih daripada 50 peratus pegangan pertanian individu tersebut memiliki sekurang-kurangnya kelulusan pendidikan menengah.
“Dalam konteks guna tenaga, Johor mencatatkan sebanyak 195,634 orang yang terlibat secara langsung dalam sektor pertanian, dengan jumlah guna tenaga bagi pegangan pertanian individu direkodkan sebanyak 141,392 orang, manakala bagi pegangan pertanian oleh pertubuhan pula ialah sebanyak 54,242 orang,” menurut kenyataan itu.
Banci Pertanian 2024 menyediakan data garis dasar sektor pertanian Malaysia yang terkini dan kali terakhir banci ini dijalankan ialah pada 2005 dan ia akan dilaksanakan setiap 10 tahun bagi memastikan data kekal relevan serta mencerminkan struktur semasa sektor pertanian negara.
-- BERNAMA