KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Berbekalkan idea yang dekat dengan budaya sendiri, karya seorang mahasiswa Indonesia berjudul 'Sisa Satu' mencuri perhatian juri untuk merangkul Best Short Film Pitch Award pada Kemuncak Filem dan TV ASEAN 2025, di sini malam tadi.
William Simanjuntak, 21, mengakui tidak pernah terfikir untuk bergelar pemenang dan berkata konsep yang diketengahkannya itu diinspirasikan daripada tradisi masyarakat Palembang di Indonesia yang meninggalkan sedikit makanan sebagai tanda menghormati tuan rumah.
“Di bandar saya Palembang ada budaya bernama 'sisa satu' iaitu meninggalkan satu makanan sebagai tanda penghormatan kepada tuan rumah dan ia juga tanda tetamu sudah kenyang. Ia satu budaya yang amat dekat di hati saya sejak kecil lagi.
"Saya percaya cerita yang baik adalah cerita yang dekat dengan diri (kita). Ini adalah kisah sebenar saya sendiri, jadi lebih senang untuk saya bawa ceritanya,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Sidang Kemuncak Filem & TV ASEAN 2025 (Siri 2) yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
pic-2
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Datuk Jurey Latiff Rosli serta Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
William yang merupakan penuntut jurusan Kejuruteraan Komputer di Politeknik Negeri Sriwijaya berkata dia tidak menyangka mampu menewaskan 12 peserta lain dari negara-negara ASEAN kerana pertandingan itu cukup sengit dengan kehadiran ramai pembentang idea yang berbakat besar.
“Saya ambil masa 30 minit untuk menyiapkan cadangan idea 'pitching' ini. Memang tak sangka boleh menang sebab saya tak cukup bersedia kerana sejujurnya saya lupa tentang anugerah ini, jadi memang tidak ada persiapan yang rapi,” katanya.
William berkata kemenangan itu juga membuka lembaran baharu buat dirinya untuk meneroka dunia perfileman sekali gus berkongsi minat dengan rakan-rakan kreatif dari seluruh ASEAN.
pic-3
Katanya kemenangan yang diraih bukan sekadar pengiktirafan peribadi, tetapi turut melambangkan perpaduan dan solidariti generasi muda ASEAN dalam mengangkat karya kreatif ke peringkat lebih tinggi.
“Pertandingan ini membantu saya memperoleh ramai rakan baharu dalam kalangan pembikin filem dari pelbagai negara termasuk Myanmar, Timor Leste dan Malaysia.
"Kami juga sudah seperti adik-beradik kerana selalu bekerjasama tanpa batas,” katanya.
ASEAN Filem & TV Summit 2025 (Siri 2) yang berlangsung dari 28 hingga 30 Okt merupakan penganjuran bersama PTVM dan MBM dengan sokongan strategik Finas, merangkumi sesi perbincangan, persembahan kreatif dan jaringan profesional melibatkan penerbit, pengarah serta pengamal media dari seluruh rantau.
-- BERNAMA