AM

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 Lancar, Bukti Kesiapsiagaan PDRM, Imigresen

30/10/2025 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di ibu negara dari 26 hingga 28 Okt lepas berjalan lancar tanpa sebarang insiden gangguan keselamatan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kejayaan itu hasil kesiapsiagaan tinggi semua agensi keselamatan yang terlibat khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang melaksanakan tanggungjawab dengan signifikan sebelum, semasa dan selepas sidang kemuncak berlangsung.

“Saya ingin mengulangi rasa terima kasih saya di atas komitmen khususnya pasukan polis dan Jabatan Imigresen yang memberi sumbangan yang sangat signifikan kepada kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN.

“Hampir tidak berlaku sebarang gangguan dari sudut keselamatan ketika Malaysia menjadi tuan rumah kepada 23 Ketua-Ketua Negara di sini,” katanya ketika memulakan sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin Nasution sebelum ini memaklumkan sebanyak 10,492 anggota PDRM dan 3,000 anggota JIM ditugaskan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bagi memastikan kesiapsiagaan keselamatan di tahap tinggi serta kelancaran di pintu masuk negara.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari yang melabuhkan tirai pada Selasa, melakar beberapa pencapaian termasuk penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 blok serantau itu dan pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja.

Penganjuran kali kelima dan terbesar Malaysia itu menyaksikan kehadiran semua pemimpin negara ASEAN serta rakan dialog antarabangsa antaranya Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, yang menerajui perkumpulan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) dan Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485342