AM

Sultan Nazrin Berkenan Terima Zakat Perniagaan Lebih RM5.8 Juta

30/10/2025 06:04 PM

IPOH, 30 Okt (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM5,831,264.89 (RM5.83 juta) daripada lapan syarikat korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) di Istana Kinta, di sini hari ini.

Penyerahan zakat didahului Felcra Berhad Perak yang diwakili Pengarah Felcra negeri M. Zaiful Anuar Zulkifli berjumlah RM1,483,830.20 diikuti Ipoh Specialist Hospital Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Badrul Hisyam Ibrahim yang menyerahkan zakat berjumlah RM1,046,469.00.

Turut menyerahkan zakat Pengerusi Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad Datuk Mohammed Akhiar Ahmad Wazir Affandi berjumlah RM114,092.44 dan Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh Perak Berhad yang diwakili oleh Pengerusinya Salleh Hudin Kamarudin berjumlah RM1,784,234.13.

Selain itu, Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Berhad diwakili oleh Nor Sharifuddin Yeop Sabar yang menjalankan tugas sebagai pengerusi menyerahkan zakat berjumlah RM490,969.59 manakala KPJ Sri Manjung Specialist Hospital diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Muhammad Tareq Mamat menyerahkan zakat berjumlah RM181,000.

Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah Metropolitan Utilities Corporation Sdn Bhd diwakili Pengurus Besar Operasinya Mohd Khairiri Mohamed Zubir dengan jumlah RM321,218 serta YP Nominees Holdings Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Rozita Ramli dengan zakat berjumlah RM409,451.53.  

Sultan Nazrin kemudian berkenan menyerahkan zakat itu kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Pada majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan pengurniaan watikah pelantikan kepada anggota MAIPk Selwah Said.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485337