JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Bunuh Dua Beranak: Reman Tiga Lelaki Nepal Disambung Tujuh Hari

31/10/2025 11:00 AM

BUKIT MERTAJAM, 31 Okt (Bernama) -- Reman terhadap tiga lelaki warga Nepal, termasuk suspek utama dalam kes pembunuhan dua beranak di Kampung Sekolah Juru, di sini disambung tujuh hari lagi hingga 7 Nov ini.

Perintah sambung reman terhadap kesemua suspek berusia 30-an hingga 40-an itu dikeluarkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kesemua suspek termasuk abang kepada suspek utama dengan berpakaian lokap tiba di mahkamah pada 9 pagi secara berasingan.

Pada 18 Okt lepas, mangsa Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemukan maut dalam rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru, dengan mayat wanita itu di dapur dan kanak-kanak berkenaan di tingkat atas.

Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa berusia 57 tahun selama seminggu hingga 25 Okt lepas, sebelum menahan tiga lelaki Nepal berkenaan bagi membantu siasatan.

Suspek utama ditahan di pejabat imigresen ketika cuba melarikan diri ke luar negara manakala dua lagi diberkas di Bukit Tengah dan direman tujuh hari hingga hari ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485547