AM

1,000 Lembu Tenusu A2 Tiba Di Pasir Gudang, Pacu Operasi Lembah Tenusu Jemaluang

01/11/2025 01:06 PM

PASIR GUDANG, 1 Nov -- Sebanyak 1,000 ekor lembu tenusu A2 baka Jersey Friesian dari Pelabuhan Victoria, Australia tiba di Pelabuhan Pasir Gudang hari ini sebagai permulaan pembangunan industri tenusu berskala besar di Lembah Tenusu Jemaluang (JDV), Mersing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip berkata ketibaan kumpulan pertama ternakan itu menjadikan projek berkenaan sebagai hab tenusu moden bersepadu pertama dan terbesar di Johor setakat ini.

Beliau berkata sebahagian besar lembu berkenaan telah bunting dan dijangka beranak dalam tempoh tiga hingga enam bulan, dengan pengeluaran susu akan bermula Januari tahun depan dan mencapai tahap maksimum pada Mac 2026.

“Seekor lembu tenusu A2 mampu menghasilkan purata 35 liter susu setiap sesi perahan dua hingga tiga kali sehari, jauh lebih tinggi berbanding lembu tempatan,” katanya ketika ditemui di Pelabuhan Pasir Gudang hari ini.

Projek kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan JDV Sdn Bhd itu melibatkan peaburan kira-kira RM80 juta, dengan sasaran pengeluaran tiga juta liter susu pada tahun pertama, meningkat kepada antara empat hingga lima juta liter pada tahun berikutnya dan mencecah 12 juta liter setahun dalam tempoh lima tahun.

Zahari berkata peningkatan pengeluaran itu dijangka mengurangkan kebergantungan negara terhadap susu import hingga 20 peratus.

"Projek yang bermula pada 2022 dan telah diserahkan kepada pengendali pada September 2025 itu turut berpotensi menjadi tarikan agropelancongan di Mersing apabila dibuka kepada umum pada suku ketiga 2026,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485998