EKONOMI

GM Klang Kini Beroperasi Hingga 10 Malam Setiap Hari

01/11/2025 10:32 PM

KLANG, 1 Nov (Bernama) -- Pusat borong terbesar GM Klang secara rasmi melanjutkan waktu operasi baharu iaitu dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari bermula malam ini.

Majlis pelancaran waktu operasi baharu itu disempurnakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Datuk Abd Hamid Hussain dengan disaksikan Pengarah Urusan GM Klang Datuk Lim Seng Kok dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling.

Sebelum ini, GM Klang beroperasi dari 10 pagi hingga 7 malam Isnin hingga Jumaat manakala 10 pagi hingga 8 malam pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum.

Lim berkata keputusan itu bukanlah sesuatu yang spontan tetapi diambil selepas mendengar suara dan maklum balas daripada pelanggan, pemborong, serta rakan strategik. 

“Langkah ini turut mencerminkan komitmen kami terhadap visi GM Klang untuk ‘Mengorak Langkah Untuk Menjadi Pusat Borong Sehenti dan Hab Perdagangan Yang Paling Komprehensif di Asia Tenggara’.  

“Inisiatif ini turut memperkasakan ekonomi tempatan, menyokong kempen pelancongan negeri dan menjadikan Klang destinasi tumpuan siang dan malam,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Waktu Operasi Baharu GM Klang dan Program Ceritera Selangor di pusat borong itu, hari ini.

Turut dirasmikan hari ini adalah Dataran GM Klang yang merupakan ruang acara baharu yang bakal menjadi nadi kepada pelbagai aktiviti komuniti, kebudayaan dan keusahawanan.

Lim berkata pihaknya yakin ia merupakan masa terbaik untuk mengorak langkah ke fasa baharu dalam perjalanan transformasi GM Klang, mengambil kira pembangunan pesat di kawasan sekitar Bandar Botanik termasuk projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang bakal merancakkan aliran pengunjung kawasan itu.

Dalam pada itu, Lim berkata sebagai simbolik kepada pelaksanaan waktu baharu itu, GM Klang dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor, Tourism Selangor dan MBDK turut menganjurkan acara ‘Ceritera Selangor’ yang merupakan majlis himpunan persembahan budaya yang mengetengahkan keindahan serta kepelbagaian warisan Selangor.

“Inisiatif ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga usaha memperkukuh kempen Tahun Melawat Selangor 2025, selaras dengan peranan GM Klang sebagai antara Duta Pelancongan Bandar Klang. 

“Persembahan selama dua jam itu menampilkan gabungan tarian tradisional, persembahan Mah Meri, Cempuling dan pelbagai elemen kebudayaan yang mencerminkan keunikan negeri ini,” katanya.

Selain itu, turut dilaksanakan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara GM Klang dan enam rakan strategik baharu dalam segmen rekreasi, sukan dan gaya hidup dengan kerjasama itu bakal memainkan peranan penting memperkukuh ekosistem perniagaan serta memperluas tawaran gaya hidup di pusat borong itu.

Lim turut berkongsi GM Klang telah menerima Anugerah Emas di bawah program Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) baru-baru ini. 

“Pengiktirafan ini merupakan tanda komitmen kami dalam memberikan perkhidmatan terbaik, malah menjadi pemangkin untuk kami terus mempertingkatkan kemudahan dan pengalaman buat semua pengunjung,” katanya.

Bersempena kempen waktu operasi baharu, GM Klang turut memperkenalkan pelbagai aktiviti dan program menarik antaranya Night Crazy Deals iaitu promosi eksklusif bermula jam 7 malam setiap hari, Monthly Lucky Night Draw: Shop & Win – cabutan bertuah bulanan dengan hadiah utama seperti motosikal, mesin basuh dan pengering, serta televisyen pintar 55 inci.

Selain itu, turut diperkenalkan program “Rioooh Malam Sabtu” iaitu siri acara mingguan bertema yang menawarkan hiburan dan pengalaman unik setiap hujung minggu.  

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486170