SEGAMAT, 2 Nov (Bernama) -- Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama Majlis Media Malaysia (MMM) pada 7 Nov ini, bakal menjadi titik perubahan penting yang membuka ruang kepada badan itu untuk muncul sebagai penggerak utama standard profesionalisme dan kebebasan media di negara ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata MMM diharap dapat memainkan peranan lebih aktif, dalam mewujudkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta merangka garis panduan dan etika, yang dapat membantu industri menangani isu-isu moden berkaitan amalan media.
“Selain itu, kalau ada pertikaian, ada pihak yang merasakan sesuatu laporan itu tidak adil atau apa-apa isu, mereka boleh bawa ke Majlis Media supaya ada satu mekanisme untuk mengendalikan pertikaian itu,” katanya pada sidang media Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2025, di Siang Hai Recreation Centre di sini hari ini.
Teo berkata selepas AGM pertama, kepimpinan MMM akan dipilih oleh ahli sendiri dan bukannya lagi dilantik kerajaan, sekali gus membolehkan majlis itu bergerak lebih bebas serta memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh ekosistem media negara.
AGM pertama MMM turut akan membincangkan pemilihan ahli Lembaga Majlis mengikut Seksyen 8(4) Akta Majlis Media Malaysia, penetapan tatacara AGM seterusnya, fi keahlian dan polisi operasi standard (SOP) selain pembentangan belanjawan 2026.
-- BERNAMA