SHAH ALAM, 3 Nov (Bernama) -- Sebanyak 19 penduduk Kampung Jawa, Klang yang kawasan tanah mereka terbabit dalam pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) diberikan tujuh hari bermula hari ini untuk mengosongkan tanah masing-masing.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan bersama penduduk terlibat serta agensi berkaitan antaranya WCE dan Pejabat Tanah Galian Selangor serta pihak berkuasa tempatan hari ini.
Beliau berkata sebagai langkah tambahan bagi melancarkan proses tersebut, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bersetuju menyediakan rumah menerusi Skim SMART Sewa bagi penduduk terlibat.
"Sebarang bantahan, kita syorkan untuk bawa ke mahkamah untuk ia diputuskan di situ dan projek berkepentingan awam ini perlu diteruskan kerana ia telah mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Apa yang saya dimaklumkan sebelum keputusan dibuat, kita telah mendapat pandangan Penasihat Undang-Undang Selangor supaya mengikut segala prosedur yang ada daripada WCE dan pihak berkaitan," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini.
Beliau berkata WCE juga akan memberikan pampasan kepada pemilik terlibat iaitu 75 peratus sebelum pengosongan tanah dan baki 25 peratus setelah selesai proses pengosongan.
Katanya nilai pampasan tertakluk pada penilaian terhadap tanah penduduk masing-masing.
Sebelum ini media melaporkan keengganan 19 pemilik tanah di Kampung Jawa, Klang mengosongkan kediaman melibatkan jajaran 150 meter menjadi punca utama projek Lebuhraya WCE yang kini lebih 90 peratus siap masih tergendala.
Lebuhraya WCE merupakan projek infrastruktur utama negara melibatkan rangkaian sepanjang 233 kilometer (km) yang dirancang bagi menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak serta turut berfungsi sebagai laluan alternatif ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi mengurangkan kesesakan.
-- BERNAMA