JENAYAH & MAHKAMAH

Pukul Isteri Hingga Koma: Peniaga Kekal Dipenjara 10 Tahun

04/11/2025 02:43 PM

JOHOR BAHRU, 4 Nov (Bernama) --  Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang peniaga kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya yang hamil sehingga wanita itu berada dalam keadaan koma, empat tahun lepas.

Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Rosmaini Abd Raof, 42, terhadap sabitan serta hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen selepas mendapati lelaki itu bersalah atas pertuduhan tersebut. 

Mahkamah turut menolak rayuan silang pihak pendakwaan untuk menambah hukuman penjara selepas mendapati hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini yang kini bekas suami kepada wanita itu, Jahidah Nordin @ Sylvester, 46, adalah memadai.

Hakim Atan Mustaffa berkata setelah meneliti rekod prosiding dan alasan yang dikemukakan pihak pembelaan, tiada asas mencukupi untuk mengganggu dapatan serta keputusan mahkamah perbicaraan berhubung sabitan dan hukuman.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penggantungan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan menetapkan tambahan jaminan RM10,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM25,000.

Peguam Kamal Hisham Ja’afar, Muhammad Nor Tamrin dan Nurainaa Kamilah Zalizan mewakili Rosmaini manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar dan Siti Fatimah Mamu.

Rosmaini didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentakkan kaki ke belakang tangan wanita itu yang ketika itu sedang hamil 10 minggu di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin di sini pada 6 pagi, 4 Mei 2021.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.

Pada 25 Feb lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Rosmaini untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya sementara menunggu rayuan sabitan dan hukuman didengar serta diputuskan Mahkamah Tinggi.

Rosmaini sebelum ini sempat dipenjarakan 79 hari selepas Mahkamah Sesyen mensabitkannya atas pertuduhan itu pada 9 Dis tahun lepas.

Jahidah yang juga bekas penjawat awam, dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Wanita itu selamat melahirkan seorang bayi lelaki secara pembedahan pada 30 Nov 2021 dan kanak-kanak itu kini disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486972