JENAYAH & MAHKAMAH

Penoreh Getah Mengaku Bersalah Tetak Lelaki Guna Parang

04/11/2025 03:02 PM

KOTA BHARU, 4 Nov (Bernama) -- Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki menggunakan parang sehingga cedera parah pada 28 Okt lepas.

Tertuduh, Noradin Ibrahim, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Noradin didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Ahmad Firhan Hadi Hamzah, 44, dengan menetak mangsa menggunakan sebilah parang di sebuah rumah di Kampung Kulim, Pasir Puteh, pada kira-kira 6 petang, 28 Okt lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Zulkifli tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 3 Dis ini untuk sebutan semula kes serta prosiding jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486986