ALOR SETAR, 4 Nov (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang murid lelaki berusia 11 tahun yang disyaki hilang dari sekolahnya di Sintok, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata murid darjah lima Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sintok yang dikenali sebagai Rooney itu disedari hilang oleh ibunya ketika hendak menjemputnya pulang dari sekolah.
“Ibu mangsa yang berusia 34 tahun datang ke sekolah untuk menjemput anaknya pulang kira-kira pukul 12.45 tengah hari, bagaimanapun dia mendapati anaknya tiada di hadapan sekolah berkenaan.
“Bimbang dengan keselamatan anaknya, ibu mangsa telah membuat laporan polis pada 4.42 petang tadi dan operasi mencari murid itu masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Terdahulu, tular mesej melalui aplikasi WhatsApp yang memaklumkan waris murid di sekolah berkenaan meminta bantuan untuk mencari dan menyebarkan maklumat berkaitan kehilangan murid terbabit.
-- BERNAMA